Selangor rangka perumahan khas untuk bekas perajurit

JUHANI RAHMAN | .

KAJANG: Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka pelan pembangunan perumahan khusus untuk bekas perajurit negara sebagai menghargai jasa mereka semasa berkhidmat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, rancangan itu yang diumumkan sendiri oleh Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini akan diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Semuanya masih dalam perbincangan dan usaha ini untuk membalas jasa para perajurit negara yang pernah berkhidmat kepada negara.

"Kita ambil maklum segala masalah yang mereka hadapi selepas bersara dan kita akan bantu menyediakan kehidupan yang lebih sejahtera kepada mereka," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor semasa merasmikan pelancaran 'Jejak Wira' di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Dukong, dekat sini, hari ini.

Program anjuran PAS Selangor itu yang dikendalikan Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS negeri turut mendapat kerjasama Lebuh Raya Grand Saga Sdn Bhd.

Sementara itu, pengerusi lajnah itu, Dr Che Rosli Che Mat berkata, program yang dirancang itu bagi memastikan golongan itu boleh terus berkhidmat kepada masyarakat terutamanya dalam usaha membaiki kecelaruan moral dan disiplin.

Pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat di samping penekanan disiplin yang tinggi semasa mereka berkhidmat dulu sudah pasti sangat diperlukan untuk membantu kerajaan negeri mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

"Kita akui masyarakat sekarang berdepan masalah pembangunan insan, jadi saya kalau boleh mahu bekas tentera dan polis ini menjadi mentor masyarakat dengan membimbing mereka kembali kepada syariat Islam.

"Tiada guna kalau negara maju, ekonomi makmur tetapi gejala sosial terus membesar," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat.

Dalam majlis itu, lebih 40 bekas tentera dan polis dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti Dusun Tua, Semenyih, Bangi, Chempaka dan Lembah Jaya diraikan.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Timbalan Speaker Dun yang juga  Adun Bangi, Shafie Ngah; Adun Dusun Tua, Razaly Hassan; Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, serta Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan. - HARAKAHDAILY 9/9/2015

Share on Myspace