Bekas ketua Umno, setiausaha pemuda sertai PAS

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Zamri menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Rosli disaksikan pimpinan PAS Pahang.

TEMERLOH: Bekas Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Maran dan Ketua Cawangan Umno Kampung Sekara, Chenor selama 16 tahun, Mohd Zamri Mohd Sham, 52, hari ini mengisytiharkan menyertai PAS.

Zamri, seorang usahawan, membuat pengisytiharan tersebut di hadapan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar serta ahli Dewan Harian Negeri di pejabat PAS Pahang di sini.

Dalam ucapannya di hadapan wakil media, Zamri yang diringi bapa saudaranya yang juga Ketua PAS Cawangan Kampung Sekara, berkata beliau menyertai PAS secara sukarela dan setelah mengambil masa yang lama membuat kajian.

“Saya telah membuat kajian terhadap perlembagaan tiga parti iaitu Umno, PAS dan PKR dan akhirnya saya tertarik dengan PAS melalui Fasal 5 perkara satu dan dua perlembagaan PAS iaitu asas perjuangannya adalah untuk memperjuangkan Islam, menegakkan hukum-hakamnya dan mencari keredhaan Allah.

“Saya juga mengambil keputusan ini kerana menemui  Fasal 7 perkara satu iaitu hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qiyas yang nyata iaitu sumber hukum para Ahli al Sunnah wal Jama'ah.

“Yang kedua, saya perhatikan PAS konsisten dalam perjuangannya sejak ditubuhkan pada 1951 hingga kini. Kepimpinannya tegas dalam mempertahankan hala tuju perjuangan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kagum dengan akar umbi PAS yang ikhlas menyokong perjuangan parti dan mempertahankan kepimpinan ulama mahupun diasak dengan pelbagai karenah dan mehnah termasuk pergolakan mutakhir ini sehingga menyebabkan beberapa orang ahli mengambil keputusan keluar parti.

Zamri yang menyertai Umno sejak 1990, berkata beliau dipecat daripada parti itu pada Ogos tahun lalu setelah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri kerana kesalahan hadir dan berucap dalam satu majlis anjuran Pakatan Rakyat di bandar Maran.

Ditanya tentang perbezaan Umno dulu dan sekarang, beliau berkata ia terlalu jauh kerana pemimpin terdahulu boleh dilihat dan dirasai jasa mereka.

“Contohnya Tunku, walau apapun orang kata tentangnya tetapi jasa beliau tetap ada iaitu menuntut kemerdekaan sehingga kita merasa merdeka. Begitu juga Tun Razak, beliau menubuhkan Felda dan hampir dua juta warga Felda boleh merasai hasilnya hingga kini.

“Tetapi apa yang dibuat pemimpin Umno sekarang tidak dirasai. Saya sebagai rakyat Malaysia merasai kesukaran hidup dan semakin sukar dari hari ke hari,” katanya.

Katanya, isu 1MDB dan kes RM2.6 bilion adalah kemuncak kepada rasuah dalam negara ini.

Mengenai masa depannya, beliau ingin terus berada dalam PAS yang dianggap sebagai parti yang lengkap merangkumi dakwah dan siyasah.

“Saya ingin merubah diri sendiri agar esok lebih baik daripada hari ini, walaupun sedar kemasukan saya ke dalam PAS ini hanyalah umpama sebutir garam yang dicampakkan ke lautan luas.

“Sekurang-kurangnya saya mendapat kesedaran di penghujung usia yang ada. Inilah hikmah di sebalik pemecatan saya sebagai ahli Umno pada tahun lalu,” katanya dalam nada sebak.

Beliau selanjutnya yakin, selepas ini ramai lagi rakan-rakan dalam Umno dan atas pagar akan menurutinya kerana mempunyai cara tersendiri untuk ‘memujuk’ mereka. - HARAKAHDAILY 9/9/2015

Share on Myspace