Harakah menyumbang kemenangan PAS

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop menegaskan akhbar Harakah telah memberi sumbangan besar kepada kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu.

Katanya, sumbangan kemenangan itu berdasarkan pada edaran Harakah yang paling tinggi di Selangor iaitu di Lembah Klang.

Beliau berkata, Harakah sebagai organ parti tentu lebih memahami, peka dan sensitif dengan tuntutan akar umbi dan isu-isu setempat.

"Saya melihat PAS ada kekuatan di Selangor. Jadi, Harakah sebagai media ada peranan untuk membantu mengekalkan kemenangan PAS di Selangor," katanya ketika pertemuan dengan anggota harian Badan Perhubungan PAS Selangor, di sini petang semalam.

Pemimpin PAS negeri diketuai Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Setiausaha, Mohd Khairudin Othman dan Pengarah Pilihan Raya, Mohd Haslin Hassan.

Turut serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Taufek Yahya; Pengurus Pemasaran, Ahmad Faisal Tawang dan Ketua Biro Harakah Selangor, Saidah Hairan.

Dalam perbincangan tersebut, mereka memberi cadangan dan teguran supaya Harakah lebih maju dan berdaya saing selaras dengan senario politik terkini. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace