PAS Kuang tambah empat cawangan baru

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

SUNGAI BULOH: PAS di Selangor terus mendapat sokongan rakyat negeri itu apabila empat lagi cawangan baru ditubuhkan dalam Dun Kuang.

Empat cawangan baru itu seperti PAS Cawangan Tasik Biru, PAS Cawangan Kundang Jaya, PAS Cawangan Taman Bersatu dan PAS Cawangan Indah Height BTP.

Selain itu, 20 ahli baru turut menyerahkan borang PAS kepada Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di Dewan JKK Kampung Permata Kundang, Yang Dipertua PAS Kawasan merangkap Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib.

Penyerahan itu diwakili oleh Abas Abdul Manaf yang merupakan Ketua PAS Cawangan Kampung Melayu Seri Kundang Blok C yang terletak di bawah PAS Kawasan Selayang.

Ditanya mengenai inisiatif itu, katanya, beliau tidak melakukan sebarang usaha untuk mendaftarkan keahlian, melainkan bercakap tentang perjuangan Islam.

"Kita sering bertemu dan bercakap mengenai perkara untuk menegakan perjuangan Islam sahaja, bukan kerana habuan dan imbuhan kewangan.

"Oleh sebab itulah, penduduk yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap agama, mereka akan menyertai PAS," kata beliau ketika ditemui pada majlis itu.

PAS Kawasan Selayang mempunyai 40 cawangan dan dengan perkembangan itu menjadikan kekuatannya bertambah menjadi 44 buah kawasan. – HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace