Sayugia rakyat turut diberi peluang rasai 'derma ganjil'

HARAKAHDAILY | .

Kelembapan ekonomi global nyata memberikan kesan secara tidak langsung kepada kejatuhan harga komoditi terutamanya melibatkan industri minyak dan gas (O&G) dan minyak sawit negara.

Lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran (BoP) kepada PNK menunjukkan penurunan daripada 4.8 peratus pada 2014 kepada 2 sehingga 3 peratus sahaja bagi tahun ini.

Malaysia sebagai negara kedua pengeluar minyak kelapa sawit dunia sudah pasti merasai implikasi daripada kejatuhan harga komoditi dunia tersebut.

Ini disebabkan permintaan yang rendah dari China yang mengalami kelembapan ekonomi, pengukuhan dolar AS dan dalam masa yang sama harga komoditi minyak mentah yang rendah, memberi kesan negatif kepada industri biodiesel.

Atas faktor ketidaktentuan ekonomi global tersebut di samping permintaan yang rendah, harga komoditi minyak sawit telah menyaksikan penurunan kepada RM1,836.50 per tan berbanding pada 2014, harga komoditi tersebut pada paras di antara RM1,944 dan RM2,921 per tan.

Kejatuhan harga minyak sawit juga sudah pasti memberi kesan kepada pendapatan peladang yang bergantung sepenuhnya kepada industri kelapa sawit sebagai sumber utama pendapatan mereka.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan agar menyediakan suatu insentif bagi membantu meringankan beban peladang tersebut.

Dalam keadaan tekanan ekonomi domestik dan antarabangsa yang dihadapi negara ketika ini, maka, keutamaan tidak seharusnya diberikan hanya dalam memperbaiki kerancakan industri eksport dan import negara semata-mata.

Malah, dalam suasana harga komoditi di pasaran antarabangsa kini yang terumbang-ambing dan sukar diramal, DPPM menuntut agar kerajaan segera menyediakan plan jangka panjang bagi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi sebegini.

Para peladang selalu menjadi mangsa terakhir yang diabaikan pihak kerajaan setiap kali berlaku kejatuhan harga komoditi. Ia juga mestilah melibatkan pekerja dari semua industri lain yang berkait termasuklah industri getah yang juga mengalami kesan yang sama.

Kerajaan perlu lebih peka terhadap keperluan rakyat dan pendapatan keluarga terutamanya para peladang yang merupakan unit asas kepada pembangunan ekonomi sesebuah masyarakat dan negara.

DPPM juga memandang serius perkembangan yang berlaku terhadap kejatuhan industri yang melibatkan perdagangan industri komoditi negara dan berharap ia akan segera pulih bagi menstabilkan kedudukan ekonomi negara.

Situasi politik ganjil dalam negara yang menyaksikan kekayaan melampau parti pemerintah melalui derma antarabangsa RM2.6 bilion begitu melelehkan air liur rakyat miskin bahawa kekayaan negara hanyalah berputar dalam kalangan bangsawan politik sahaja.

Sayugialah rakyat juga turut diberi peluang merasai 'derma ganjil' ini melalui insentif dan pelan bantuan daripada pihak kerajaan seperti yang dinyatakan di atas.

Sekian, terima kasih.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace