Sokongan terhadap 'golongan kecewa' akan berkurang

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria telah menjangkakan 'golongan kecewa' pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 baru-baru ini cuba mempengaruhi penyokong agar terus menyokong dan memberi nafas baru kepada mereka.

Menurutnya, melihat kepada keputusan muktamar tersebut dan analisa kehadiran Himpunan Bersih 4.0 baru-baru ini mendapati sokongan 'golongan kecewa' ini tidak melebihi 20 peratus.

Kata beliau, suasana itu membuktikan sokongan di peringkat bawahan sangat minimum dan secara tidak langsung menggambarkan PAS mempunyai ahli dan penyokong yang setia dengan perjuangan.

"Jumlah undi yang mereka peroleh dalam muktamar baru-baru ini hanya sekitar 20 peratus, begitu juga kehadiran orang Melayu dalam Bersih 4.0 juga sekitar 20 peratus.

"Berkisar kepada ini dilihat kawasan dan penyokong akar umbi mereka tidak melebihi 20 peratus," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menyatakan, sokongan yang diterima oleh Parti Pekerja-Pekerja Malaysia itu tidak menggugat perjalanan dan pentadbiran parti di semua peringkat termasuklah di Perak.

Ujarnya, mutakhir ini ahli-ahli veteran yang hanya menjadi penyokong bangkit memberi sokongan dan menyatakan kesediaan untuk mengisi ruang yang dikosongkan.

PAS juga katanya menerima permohonan ahli baru di luar jangka iaitu setiap bulan puratanya adalah 5,000 permohonan baru yang diproses.

Beliau melahirkan keyakinan sokongan terhadap parti baharu itu akan semakin berkurang dari masa ke semasa.

"Apabila mereka mula sedar bahawa agenda dan matlamat perjuangan parti ini tidak jelas, sokongan mereka akan semakin berkurang.

"Ramai akan menyedari penubuhannya juga adalah bermula dari kekecewaan, bukan ada agenda besar," tegasnya.

Razman menegaskan, parti-parti yang sedia ada sudah memadai sebagai wadah untuk perjuangan sama ada perjuangan agama, bangsa atau keadilan sejagat. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace