PAS tidak terlibat himpunan sentimen perkauman

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa parti itu tidak terlibat dengan perhimpunan 'Baju Merah' yang dijadualkan berlangsung pada 16 September ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setiap himpunan yang diadakan mesti mempunyai matlamat yang jelas serta objektif.

"Kita tidak minta ahli terlibat dalam himpunan tersebut, bagi PAS setiap perkara perlu ada objektif yang jelas.

"Kita tidak mahu himpunan anti perkauman yang tidak membantu membangkitkan perpaduan negara," katanya ketika ditemui di MyHarakah Bazar selepas program Bicara Harakah Kongres Rakyat, petang ini.

Tegas beliau, PAS hanya akan membuat kerahan terhadap ahlinya jika perhimpunan itu mempunyai tujuan yang besar terutama membabit kebaikan rakyat.

"Kalau untuk kebaikan rakyat, objek yang jelas kita akan kerahkan ahli turut serta, tetapi hanya semata-mata untuk api-apikan sentimen perkauman PAS tidak akan terlibat langsung," katanya lagi.

Tuan Ibrahim turut memberitahu satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan Pejabat Setiausaha Agung PAS agar ahli tidak terlibat dengan himpunan itu. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace