Kongres Rakyat: Jangan harap lagi kepada Umno BN

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kongres Rakyat yang akan berlangsung pada 12 September ini akan membuka mata rakyat bahawa mereka tidak perlu lagi meletakkan harapan kepada Umno BN untuk mentadbir negara ini.

Bercakap dalam program Bicara Harakah hari ini, katanya parti yang telah lebih 50 tahun mentadbir negara ini sudah terlalu korup dan sukar lagi untuk dibersihkan.

"Anai-anai bukan lagi makan rusuk rumah, tetapi anai-anai sudah makan struktur rumah tersebut. Kongres ini akan membincangkan hala tuju tersebut, iaitu bagaimana masa depan negara serta rakyatnya," kata beliau.

Turut menjadi ahli panel pada program Bicara Harakah antaranya, Presiden Parti Ikatan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Pengerusi Makpen Mohd Zai Mustafa, dan pendakwah bebas, Dr Ann Wan Seng sementara Mohamad Ibrahim (Mad China) sebagai moderator.

Tambahnya, realiti hari ini rakyat tidak boleh mengabaikan untuk membuat perubahan demi masa depan dan anak cucu mereka.

Tegas beliau, negara ini sepatutnya melahirkan pemimpin yang tidak buta, tidak pekak atau bisu iaitu pemimpin yang mendengar rintihan dan keluh kesah rakyat.

"Setiap apa yang pemimpin dapat hari ini adalah hasil daripada keringat rakyat dan keluhan rakyat," ujarnya.

Bagaimanapun mengulas lanjut program itu, Tuan Ibrahim menegaskan rakyat perlu mempunyai keyakinan untuk membuat perubahan bukan ke arah negatif tetapi ke arah positif.

"Seluruh ahli politik dan Ngo perlu menggerakkan ke arah keyakinan (iman dan aqidah). Kita tidak boleh tuntut keadilan daripada sistem yang tidak adil," katanya.

Justeru katanya, Kongres Rakyat ini perlu melibatkan semua pihak dan bukan hanya berhenti setakat itu sahaja dan ianya perlu ada penyambungannya nanti.

"Harap ada penyambungan, himpunan pada Oktober nanti," tambah beliau.

Kongres yang akan berlangsung sehari ini di Shah Alam sebagai usaha menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan terancang ke arah menuntut perubahan total dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Kongres Rakyat ini akan mengumpul semua pihak sama ada individu, NGO, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk mahasiswa dan aktivis sosial ke  arah melahirkan resolusi dan plan tindakan yang berkesan bagi membina negara yang selamat dari segala rupa korupsi dan penyelewengan kuasa.

Sehingga hari ini seramai 200 NGO telah menyatakan penyertaan mereka pada kongres ini dan seramai enam penalis daripada pelbagai kepakaran turut dijemput di dalam program itu nanti. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace