Bila BN lama perintah pasti ada masalah - Kadir

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan akibat terlalu lama Barisan Nasional (BN) memerintah menyebabkan timbul pelbagai masalah terutamanya membabitkan rasuah.

Beliau berpendapat sejarah negara-negara lain telah membuktikan jika sesebuah kerajaan itu mentadbir negara melebihi 30 tahun pasti akan timbul masalah.

"Inilah yang berlaku pada BN, lama sangat perintah maka rasuah penyelewengan pasti timbul sebab mereka berkuasa dan tidak takut.

"Bila tak takut macam-macam perkara mereka lakukan, sekarang ruang untuk rakyat bangkit bersuara melalui Kongres Rakyat pada 12 September nanti," kata bekas menteri kabinet itu sebagai ahli panel pada program Bicara Harakah 3 "Meneruskan Agenda Perubahan" sempena Kongres Rakyat di MyHarakah Bazar tengah hari tadi.

Turut menjadi ahli panel pada program tersebut adalah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,  Pengerusi Makpen, Mohd Zai Mustafa dan pendakwan bebas, Dr Ann Wan Seng sementara Mohamad Ibrahim (Mad China) sebagai moderator.

Menurut beliau, rakyat perlu menggunakan ruang pada Kongres Rakyat nanti untuk menyatakan ketidakpuashatian mereka kepada kerajaan hari ini.

"Rakyat  perlu nyatakan pendirian mereka dan ini ruang yang mereka ada, kita mendengar dan berbahas serta mencari penyelesaian terbaik.

"Rakyat perlu buat perubahan dan BN Umno perlu kita tukar kerana mereka mempunyai pelbagai penyakit yang tidak boleh diubati lagi," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, 30 juta rakyat malu dengan apa yang berlaku terutamanya soal rasuah dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia yang semakin teruk.

"Rakyat malu, negara lain pun pandang sinis dengan kita (Malaysia) kerana gagal dalam tadbir ekonomi.

"Lebih 50 tahun perintah, BN buat perkara yang memalukan kita semua dan sudah sampai masa untuk kita bersuara, kita mahukan perubahan," sambung beliau lagi.

Abdul Kadir turut menjelaskan satu resolusi disediakan pada akhir kongres nanti yang diserahkan kepada kerajaan supaya mendengar dan memperbaiki apa yang rakyat kehendaki. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace