Parti serpihan khianati perjuangan PAS – Ustaz Halim

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Bekas Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyifatkan kewujudan parti serpihan sebagai menghianati perjuangan PAS yang kini berusia 64 tahun.

Beliau berkata penubuhan parti baru yang juga mahu membawa mesej Islam tidak sesuai kerana PAS sudah lama mengemudi gerakan Islam dalam ruang lingkup demokrasi di negara ini.

“Apa yang saya nampak Gerakan Harapan Baru (GHB) atau Parti Pekerja diwujudkan oleh mereka yang gagal mempertahankan jawatan pada muktamar PAS Jun lepas.

“Jadi tak salah kalau kita sebut parti baru diwujudkan oleh mereka yang kecewa kerana gagal mendapat tempat dalam muktamar,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun beliau menasihatkan bekas-bekas pemimpin PAS terbabit sewajarnya memperkukuhkan lagi parti sebagai usaha melawan musuh sebenar.

“Saya sebenarnya tidak begitu terkilan dengan beberapa bekas pemimpin PAS yang keluar parti, kecuali bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Saya langsung tidak menyangka Salahuddin sanggup meninggalkan parti, tapi apa boleh buat jika itulah pilihannya,” ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace