Wang RM2.6 bilion didapati secara haram, kata Mahathir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Razak menghalang siasatan ke atas wang RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang itu didapati secara haram.

"Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan," tulis beliau dalam blognya dengan tajuk Wahai Ahli Umno, hari ini.

Menurutnya, pentadbiran Najib menyebabkan nilai Ringgit jatuh sehingga harga barang semua naik, inflasi tinggi, dan saham jatuh harga.

"Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok dengan GST yang menyebabkan harga barangan dan khidmat naik lagi," tulisnya lagi.

Tambah beliau, pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak RM42 billion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbillion Ringgit sudah tidak dapat dikesan.

Menurutnya lagi, yang diketahui ialah Najib memiliki wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian.

"Sekarang wang ini telah dipindah entah ke mana. Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace