Kelantan berusaha wujud ladang skala besar

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengadakan usaha awal bagi menyatukan ladang-ladang di bawah syarikat milik kerajaan untuk diletak di bawah satu bumbung.

Ia selaras dengan keputusan kerajaan negeri sebelum ini mewujudkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan.

Malah enakmen mengenai perbadanan baru tersebut dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pertengahan tahun lepas.

Sekarang kerajaan negeri mempunyai beberapa ladang kelapa sawit dan getah yang diurus syarikat berlainan iaitu Ladang Sungai Terah, Ladang Tapis, Ladang Rakyat dan Ladang PMBK Sawit.

Selain itu ada juga ladang diurus di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata usaha penyatuan ladang di bawah satu entiti bertujuan mewujudkan skala perniagaan lebih besar.

“Selain itu mencapai tahap kemahiran ekonomi yang lebih tinggi, perkongsian sumber tenaga dan mewujudkan kuasa beli serta kuasa jual lebih besar.

“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kelantan yang terdiri kalangan korporat, ahli akademik, pakar ekonomi dan korporat strategis,” katanya di sini.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan langkah kerajaan negeri mahu menjual semula ladang yang dibeli PMBK Sawit kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi mengurangkan bebanan pinjaman bank.

Pihak terbabit juga mendakwa kerajaan negeri mengenepikan pengurus besar lama PMBK Sawit.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah sebelum ini menjelaskan pembelian ladang tersebut dan projek tanam semula menyebabkan PMBK Sawit berdepan dengan aliran tunai sekarang.

Che Abdullah yang juga Pengerusi PMBK Sawit menjelaskan pengurus besar lama PMBK Sawit tidak dipecat sebagaimana didakwa pihak tertentu dalam media sosial.

“Kita tidak pecat tetapi ketika mengadakan mesyuarat awal selepas saya dilantik sebagai pengerusi, pengurus besar tidak datang.

“Sebagai orang baru tentunya saya memerlukan khidmat beliau kerana kita yakin pengurus besar mempunyai banyak maklumat dan boleh membantu,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan melantik kroni sebagai pengurus besar baru sedangkan ia dibuat melalui temuduga, di mana panelnya kalangan mereka yang mahir dalam industri sawit.

“Sebelum ini saya pun tidak pernah kenal beliau melainkan setelah dia datang temuduga yang diadakan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/9/2015

Share on Myspace