Syed Hamid perlu kosongkan kerusi Dun Kuala Semantan

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Syed Hamid Syed Mohamed, 63, yang memenangi kerusi Dun Kuala Semantan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atas tiket PAS diminta menyerahkan kembali kerusi tersebut dengan cara meletakkan jawatan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, ia seiring dengan arahan PAS Pusat dan juga dari sudut moral di mana wakil rakyat PAS yang keluar parti seharusnya mengosongkan kerusi.

“PAS Pahang mengguna pakai pendirian PAS Pusat bahawa mana-mana wakil rakyat yang memenangi pilihan raya apabila keluar daripada PAS supaya mereka menyerahkan kembali jawatan mereka.

“Ini kerana sebelum bertanding dulu calon-calon PAS dikehendaki menandatangani borang watikah yang mengandungi tuntutan berkenaan,” katanya.

Rosli berkata demikian mengulas pengumuman Syed Hamid yang keluar daripada PAS dan menyertai parti pekerja dalam satu sidang media kelmarin sebaliknya mengekalkan kedudukannya sebagai Adun Kuala Semantan.

“Dari sudut moral juga beliau wajar meletak jawatan sebab kita telah berbaiah iaitu satu ikrar kalau sekiranya kita khianat akan mendapat laknat Allah dan segala makhluk yang melaknat,” ujarnya.

Pada PRU lalu PAS Pahang memenangi tiga kerusi Dun daripada 21 yang ditandingi di negeri ini.

Kerusi tersebut ialah Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar), Beserah (Andansura Rabu) dan Kuala Semantan (Syed Hamid Syed Mohamed).

Syed Hamid telah memenanginya untuk penggal kedua. Pada 2008, beliau juga memenangi kerusi tersebut. - HARAKAHDAILY 11/9/2015

Share on Myspace