Hutang 1MDB: Drama 6 bulan tidak boleh berterusan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan tarikh khusus bila masalah hutang 1MDB akan selesai.

"Jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib kelmarin yang meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah 1MDB melalui pelan rasionalisasinya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.

Katanya, kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015.

Perkara itu, ujar beliau didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Datoh kepada media seperti The Malaysian Insider and The Rakyat Post.

Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015.

Hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu," kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, ujar beliau persoalan yang bermain di minda rakyat sekarang ialah berapa panjang sebenarnya tempoh 6 bulan yang disebut Najib.

Menurutnya lai, jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi.

Justeru, beliau mempersoalkan apakah kelmarin Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?

Katanya, walaupun menjadi hak PM untuk tidak menyatakan pelan pemulihan tersebut, namun oleh kerana tempoh keramat yang diminta sentiasa berubah, PAS mencadangkan rangka pemulihan dana 1MDB dibentang di parlimen bagi rakyat mengetahui dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelan pemulihan tersebut.

Sehingga kini, ujar beliau pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran PM sebagai Menteri Kewangan sahaja.

Tambahnya, pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu, faedah pinjaman terus meningkat dan ini bermakna kerisauan rakyat semakin bertambah.

"Drama 6 bulan ini tidak boleh berterusan," ujar beliau seterusnya. - HARAKAHDAILY 11/9/2015

Share on Myspace