DHPP: Hilangkan prasangka buruk terhadap Islam

HARAKAHDAILY | .

 

SHAH ALAM: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor akan meneruskan kerjasama dengan PAS untuk memberi penerangan tentang Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS 1, Datuk Dr Ahmad Yunus yakin kerjasama DHPP dengan PAS dalam memberi penerangan tentang Islam dapat menghilangkan prasangka buruk mereka terhadap Islam selama ini.

Menurut beliau, masyarakat bukan Islam akan menerima dan menyokong undang-undang Islam jika mereka diberi penjelasan dan penerangan yang tepat.

“Ini merupakan tanggungjawab PAS Selangor memberikan kefahaman yang sebenar tentang kebaikan undang-undang Islam dengan cara berhikmah kepada rakyat Selangor," katanya ketika merasmikan Bengkel Murabbi PAS Selangor anjuran Lajnah Dakwah PAS Selangor, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam berkata, ia juga menjadi hasrat Tuanku Sultan Selangor supaya rakyat Selangor dapat memahami undang-undang Islam secara menyeluruh.

Katanya, Dato' Menteri Besar turut menyokong usaha yang dibuat oleh PAS Selangor bagi menghilangkan prasangka masyarakat bukan Islam terhadap undang-undang Islam.

Beliau menegaskan, sebenarnya masyarakat bukan Islam tidak memusuhi Islam tetapi selama ini mereka tidak mendapat maklumat yang tepat daripada orang yang benar-benar mempunyai kemahiran tentang ilmu Islam.

"Selama ini masyarakat bukan Islam hanya mendapat maklumat tentang Islam daripada Umno-BN," tegasnya.

Menurut beliau, Umno-BN menerangkan peraturan Islam mengikut kepentingan politik mereka supaya terus kekal berkuasa dan bukan menerangkan mengikut ketetapan Allah SWT.

Justeru katanya, PAS bertanggungjawab untuk menggerakkan agenda memurnikan pemahaman masyarakat bukan Islam terhadap Islam dengan cara berhikmah. - HARAKAHDAILY 11/9/2015 

Share on Myspace