Kita mahu bawa Islam ke Putrajaya - Presiden PAS

ASLANI M | .

PASIR PUTEH: Usaha PAS untuk mendaulatkan Islam mendapat tentangan parti lawan dan kawan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kesukaran Kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah kerana tidak mendapat sokongan kawan dan lawan.

"Kita berkawan untuk menang Putrajaya bagi membolehkan Islam didaulatkan.

"Kita mahu bawa Islam ke Putrajaya, namun malangnya ada kawan dan lawan yang tidak senang dengan usaha itu," katanya pada amanat sempena Himpunan Anak Muda Istiqamah (Hamasah) 2015 di padang Majlis Daerah Pasir Puteh petang tadi.

Menurutnya, orang Melayu Islam kena yakin dengan agama Islam.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kalau hanya Melayu yang tegak Islam tidak tahu entah ke mana.

Beliau berkata, hanya apabila Islam dapat ditegakkan barulah Melayu dan bangsa-bangsa lain juga akan selamat.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menegaskan biarpun ada wakil-wakil rakyat PAS pergi meninggalkan parti, namun tunas-tunas baru sekarang semakin banyak yang tumbuh. - HARAKAHDAILY 11/9/2015

Share on Myspace