Kren tumbang: 6 jemaah haji Malaysia belum dapat dikesan

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Seramai 10 jemaah haji Malaysia cedera manakala enam lagi masih belum dapat dikesan dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram di Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tujuh jemaah lelaki dan tiga wanita yang dilaporkan stabil itu mengalami kecederaan seperti patah tulang kaki, cedera ringan di kepala dan patah pergelangan kaki.

"Tiga daripada mereka kini dirawat di hospital Arab Saudi, enam di Pusat Rawatan TH (Tabung Haji) dan seorang telah dibenarkan pulang ke bilik penginapan," katanya dalam sidang media di Kompleks TH di Kelana Jaya di sini Sabtu.

TH, katanya, sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara dalam operasi mencari enam jemaah - dua lelaki dan empat wanita - berkenaan.

"Yang belum dikesan itu sudah dikenal pasti...menurut andaian dan pengalaman kita mungkin mereka ada dalam masjid, beriktikaf dan sebagainya atau ada yang lewat balik ke maktab masing-masing," jelasnya.

Laporan awal menyebut enam rakyat Malaysia disahkan cedera dalam kejadian yang berlaku pada 5 petang Jumaat (10 malam di Malaysia). Menurut laporan terkini, 107 orang maut dan 238 cedera dalam kejadian itu.

Jemaah haji Malaysia yang cedera ialah Zainul Arifin Zulkifli, 36, dari Batu Caves, Selangor; Ahmad Muzafar Mamat@ Adam, 39, Bangi, Selangor; Mohd Nor Azman Hassan, 44, dari Cheras, Selangor; Noordin Wahab, 59, dari Kuala Terengganu; dan Abdul Razak Mahmood, 61, dari Tanah Merah, Kelantan.

Yang lain ialah Mat Deris Mohd Noor, 62, dari Bachok, Kelantan; Mohd Sharif Meon, 64, dari Klang, Selangor; Faridah Mat Yacob, 46, dari Bachok, Kelantan; Rusiah Baba, 50, dari Cheras, Kuala Lumpur; dan Faridah Mansor, 63, dari Dungun, Terengganu.

Jamil Khir berkata kesemua waris mangsa yang cedera dan yang masih belum dikesan telah dihubungi pihak TH semalam.

"Segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa akan ditanggung oleh kerajaan Malaysia melalui TH," katanya.

Beliau berkata 15 pakar perubatan dan kumpulan petugas TH di Tanah Suci akan membantu jemaah yang terlibat dalam insiden itu sehingga mereka boleh menyempurnakan ibadah berkenaan. - Bernama

Share on Myspace