Hukum siapa: Ultras Malaya, FAM atau kedua-dua?

HARAKAHDAILY | .

Malu! Malaysia malu lagi! Di manakah mahu diletakkan air muka lagi? Seantero dunia menyaksikan Malaysia dimalukan. Bukan oleh orang luar tetapi oleh warganya sendiri.

Setelah kekalahan mengaibkan kepada UAE, terbaru Malaysia dilondehkan lagi oleh perbuatan dan sikap penyokongnya sendiri; Ultras Malaya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam keras tindakan Ultras Malaya yang benar-benar dilihat ingin mengaibkan Malaysia di mata dunia.

Tindakan membaling mercun dan suar ketika aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Arab Saudi sehingga memaksa perlawanan dihentikan adalah perbuatan biadap dan tidak boleh diterima sama sekali.

Bermain di laman sendiri, pasukan yang bertandang dihidangkan pula dengan suar dan mercun oleh tuan rumah. Bagaikan tidak masuk akal!

Inikah akhlak dan budaya Malaysia yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya terhadap tetamu yang ingin ditonjolkan?

DPPM ingin menyeru kepada pihak berkuasa supaya menangkap mereka yang bersalah ini kerana bukan sahaja mengaibkan negara tetapi juga membahayakan para pemain dan penonton. Haramkan sahaja mereka daripada memasuki mana-mana stadium semasa perlawanan bola sepak.

Ini merupakan suatu hukuman yang dilihat sebagai memberi pengajaran kepada seluruh para penonton bola sepak.

Sekiranya kita menuntut para pemain untuk bermain secara profesional maka para penonton juga haruslah bersikap dengan sikap yang sama, menontonlah secara profesional!

Namun begitu, sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, seharusnya juga meneliti asbab kepada sikap Ultras Malaya yang sebegitu. Ya, sikap mereka sama sekali tidak boleh diterima namun harus juga diperhalusi tuntutan mereka sebelum itu.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan mereka telah lama bersabar dengan apa yang terjadi terhadap mutu bola sepak negara. Ranking semasa jatuh, perlawanan sentiasa kalah.

Namun tiada kenyataan membina daripada pihak FAM sendiri. Bahkan melalui peneraju FAM sebelum ini dan yang kini, ranking Malaysia tidak pernah naik ke tahap yang membanggakan bahkan menjunam dengan lebih parah.

Malaysia pernah berada di ranking ke-77, itu pun kerana FIFA memperkenalkan sistem ranking pada tahun 1993.

Namun kini, kita berada di ranking 169 jauh di bawah negara-negara yang tidak ternama seperti Bhutan, Suriname dan beberapa negara yang dahulunya berada jauh di bawah Malaysia.

Bukan niat ingin menghentam FAM dan menyebelah Ultras, namun hakikatnya mutu bola sepak Malaysia kian hari kian parah.

Dalam keadaan ini, FAM masih lagi tidak mengeluarkan plan yang terbaru untuk menyelamatkan maruah bola sepak negara. Plan Pembangunan Bola Sepak Nasional 2014-2020 juga seakan tidak menampakkan kelibatnya. Maka, apa lagi yang ada?

Kenyataan Presiden FAM yang ingin meletakkan jawatan secara berperingkat juga dilihat tidak menyelesaikan masalah.

Sekiranya Ultras Malaya dilihat mengaibkan negara dengan tindakan yang biadap dan kurang ajar, tidak keterlaluan juga jika dikatakan FAM juga mengaibkan negara secara terhormat.

Maka, siapakah yang perlu dihukum? Ultras Malaya, FAM atau kedua-duanya sekali? Tepuk dada, sepaklah bola. -

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/9/2015

Share on Myspace