Aktiviti ibadat di Masjidil Haram berjalan seperti biasa

MOHD SHUKRI ISHAK | .

MAKKAH: Aktiviti ibadat di Masjidil Haram berjalan seperti biasa dengan jumlah jemaah haji dilihat semakin ramai memenuhi kota Suci Makkah bagi melakukan ibadat tawaf dan saie, menjelang 10 hari lagi untuk berwukuf di Arafah yang dijangka 22 Sept ini.
    
Wukuf merupakan rukun utama dalam ibadat haji.
    
Kawasan saie, tempat berlakunya tragedi kren tumbang yang mengorbankan lebih 100 jemaah semalam, dibuka seperti biasa untuk jemaah menunaikan ibadat saie iaitu berlari-lari anak pergi balik dari bukit Safa ke bukit Marwah.
    
Tinjauan Bernama mendapati umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka untuk melakukan umrah dan bersolat waktu seperti biasa di Masjidil Haram, yang giat dalam proses pembesaran.
    
Seramai 279 jemaah Malaysia yang baru tiba menerusi KT52 dari Kuala Lumpur di Jeddah semalam, turut menunaikan umrah hari ini.
    
Menurut kenyataan Tabung Haji, setakat ini jemaah haji Malaysia yang berada di Makkah ialah sebanyak 18,109 orang. - Bernama

Share on Myspace