Semoga tidak putus semangat bakal jemaah haji

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) turut berasa simpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa kejadian kren runtuh di Masjidil Haram yang telah mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 jemaah dari pelbagai negara.  

"Semoga kejadian ini tidak memutuskan semangat seluruh bakal jemaah haji untuk meneruskan urusan rukun Islam yang kelima ini," ujar Setiausaha Agung PUM, Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Katanya, PUM ingin menasihatkan agar bakal jemaah haji berhati-hati dalam keadaan cuaca yang tidak menentu di Tanah Suci.

"Ambil langkah selamat dan patuhilah arahan-arahan pihak keselamatan di sana," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, ujarnya PUM mengucapkan syabas kepada pihak Tabung Haji yang sentiasa peka dan memberikan maklumat terkini dari Tanah Suci.

"Akhir kalam, PUM mendoakan semua jemaah terutama dari Malaysia agar sentiasa dilindungi dari segala bencana dan diberikan kesihatan untuk menjalani ibadah haji sehingga selesai, Insya Allah," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 13/9/2015

Share on Myspace