Khianat apabila tinggal parti selepas menang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Kuala Langat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang menyumbang kepada persiapan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak) 13 Selangor di dataran pekan Banting malam tadi sama ada dalam bentuk kewangan dan tenaga kerja.

Yang Dipertuanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata sumbangan tenaga pemuda menggantung kain rentang, bendera dan persiapan lain mengingatkan kembali bagaimana tenaga kerja parti digunakan semasa PRU13 yang lalu bagi memenangkan PAS di dua kawasan dewan negeri Sijangkang dan Morib.

Katanya, ahli yang diberi mandat bertanding yang mendapat watikah kebenaran dari PAS dan menggunakan sumber kewangan parti yang datangnya dari ahli cukup terasa apabila ada ahli dewan negeri yang apabila mendapat kemenangan sudah tidak lagi mematuhi tatacara dan perlembagaan parti walaupun telah berbaiah sebagai calon sebelum pilihan raya.

"PAS Kuala Langat menganggap ini suatu pengkhianatan apabila mereka meninggalkan parti selepas kemenangan," ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Menurutnya, menggunakan peruntukan kerajaan negeri atas kapasiti parti yang diwakili semasa bertanding hingga mendapat kemenangan juga dianggap sebagai sesuatu yang tidak beretika apabila digunakan untuk mempromosikan NGO atau parti yang akan wakili olehnya kerana itu bukan parti yang diberi mandat oleh pengundi dalam PRU13.

"Ingat baiah sebelum PRU13 yang lalu. Semoga Allah memberi balasan yang setimpal dengan tindak-tanduknya," katanya yang juga Exco Kerajaan Selangor menerusi laman facebook.

Beliau berharap semoga diberi keberkatan di dunia hingga ke akhirat dan tetap bersama hingga kemenangan kepada ahli-ahli yang terus beristiqamah dalam perjuangan PAS

Tegasnya, perjuangan PAS adalah perjuangan yang berlandaskan akidah, dakwah dan bukan siasah semata-mata. - HARAKAHDAILY 13/9/2015

Share on Myspace