Yang masuk pun ramai juga

UST MUHAMMAD ISMI MAT TAIB | .

ALHAMDULILLAH dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur dan pelaksana Kongres Rakyat yang melabuhkan tirainya semalam. Sarat dengan pelbagai kupasan isu, usul yang perlu disegerakan pelaksanaannya, dan respon yang sangat menarik dari pelbagai sektor.

Perkara paling menarik mengenai kongres tersebut ialah ia membincangkan pelbagai isu dari pelbagai sudut pandang, dan paling penting sasaran utamanya ialah untuk melahirkan sebuah negara yang sejahtera.

Ini komitmen PAS untuk membangunkan sebuah negara yang berkebajikan. Walaupun ketika ini, seolah-olah di merata-rata tempat, kelihatan ramai pimpinan dan ahli PAS yang meninggalkan PAS untuk menyertai Parti lain, namun dalam masa yang sama, lebih ramai ahli baru didaftarkan, malah setiap kelompangan jawatankuasa itu berjaya diisi sekalipun ada tempat-tempat yang hampir kesemua AJK meletakkan jawatan.

Pesanan saya, terutama kepada ahli PAS Perak, supaya berfikir masak-masak sebelum mengambil tindakan, fikir seberapa banyak sudut pandang sebelum membuat sebarang keputusan. Ambillah masa bertenang sekiranya perlu jika itu yang terbaik.

Ramai yang bertanya kenapa begitu ramai yang meninggalkan PAS? Mereka sepatutnya turut bertanya kenapa masih lebih ramai yang menyertai PAS. Malah memberikan sokongan dan dokongan dalam gerak kerja PAS. Semua maklum, bahawa PAS memiliki kekuatan akar umbi luar biasa jika dibandingkan dengan mana-mana Parti politik di Malaysia.

Ahli-ahli PAS sanggup turun beramai-ramai, bekerja dan berjuang bersungguh-sungguh walaupun tidak menerima sebarang insentif malah kebanyakannya terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab kepada perjuangan menegakkan Islam. Kekuatan ini masih ada dan semakin kuat. Walaupun kemenangan bukanlah sesuatu yang boleh dijangka dengan mudah, namun saya yakin PAS kini sedang berada di landasan yang terbaik.

Tohmahan demi tohmahan yang diterima oleh PAS, baik daripada DAP, Parti baru, PAN, malah Umno sejak sekian lama, tidak sedikitpun menjejaskan semangat para penyokong dan pendokong PAS untuk meneruskan gerak kerja. Saya percaya, kita berada di selekoh-selekoh terakhir sebelum sampai ke garisan kemenangan yang telah lama kita usahakan bersama.

Marilah bersama meneruskan langkah dengan penuh istiqamah sehingga kemenangan. – HARAKAHDAILY 13/9/2015

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak

Share on Myspace