Walau YB terus keliru, PAS akan terus ke hadapan

AHMAD AMZAD HASHIM | .

SAYA harap YB Datuk Mahfuz Omar membantu memperkukuhkan parti seperti pengorbanan yang dibuat oleh akar umbi PAS seluruh negara yang berusaha keras sekarang sehingga mencatat keahlian baru PAS antara 9,000 ke 10,000 setiap bulan.

Di Kongres Rakyat semalam, mantan menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, antara yang paling lama pernah berkhidmat dengan kabinet, menyebut dengan lantang dan jelas, politik di Malaysia ini tunjangnya orang-orang Islam khususnya Melayu yang menjadi majoriti rakyat. Parti lain ada pemimpin, tapi tiada dukungan massa, iaitulah akar umbi rakyat.

Yang ada kekuatan ini hanyalah Umno dan PAS. Katanya Umno telah rosak dan wajib ditolak.

Kalau nak cakap dan bincang kerjasamapun, Umno kena yakinkan rakyat dulu yang dia dah bertaubat. Ujar Tan Sri dalam ucapannya di pentas Kongres Rakyat yang dihadiri kira-kira 10,000 peserta dari seluruh Semenanjung bahkan ada perwakilan yang datang sejauh Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Kadir melaungkan dengan jelas, sekarang, PAS tunjang politik Malaysia. Mahu bentuk kerajaan, mesti ada parti tunjang!

Saya harap ada yang dapat buat keratan video ucapan ini kerana ia banyak manfaat dan menginsafkan datang dari orang lama politik.

Kalau Tan Sri Kadir boleh berucap begini, sebagai orang lama dalam PAS yang banyak berjasa, Datuk Mahfuz selayaknya memperkukuhkan lagi dengan kenyataan positif yang membantu momentum yang sedang terbina dalam PAS sekarang.

Di Kongres Rakyat semalam, Naib Presiden PKR, Tian Chua, pun boleh hadir. Malah Mustafa Kamil, juga pimpinan tertinggi PKR, bertugas sepanjang hari sebagai Speaker Kongres Rakyat.

Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan orang kenamaan boleh hadir untuk bersama rakyat. Akar umbi kecewa kelibat Datuk Mahfuz tidak kelihatan.

Lebih terluka lagi, pada saat kita bersyukur, gelombang kemasukan ke dalam PAS sedang berlaku termasuk 6,000 orang ahli baru di Selangor dalam tempoh 3 minggu di Pihak 13.0 Banting semalam dan begitu juga dari kalangan warga Felda di Cerul dan Jerangau di Terengganu, Datuk Mahfuz pula terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan bernada keliru.

Sayang sungguh!

Akar umbi masih hormat dan sayang pada YB Datuk Mahfuz Omar. Kembalikan Singa PAS yang kami kenali dulu. Kami akan terus dukung YB. Tapi jika YB terus keliru, PAS akan terus ke hadapan, tak menoleh ke belakang lagi. - HARAKAHDAILY 13/9/2015

Penulis ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace