Ramai skeptikal terhadap 'himpunan rakyat bersatu'

NIK NURFAQIH NIK WIL & AMIRUL MOHD SAJADI | .

KUALA LUMPUR: Rabu ini merupakan hari bersejarah buat rakyat Malaysia secara keseluruhan. Tarikh yang sama pada 1963, Tanah Melayu, Borneo Utara, kini Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju membentuk Malaysia.
    
Namun selepas 52 tahun, pada tarikh yang sama tahun ini ramai pihak di ibu negara menyatakan kegusaran untuk menyambutnya di sini.
    
Kegusaran timbul selepas ada pihak yang kononnya mahu menegakkan 'Kebangkitan Maruah Melayu' melalui perhimpunan di sekitar beberapa lokasi utama di ibu negara, termasuk tempat tumpuan pelancong.
    
Lokasi berkenaan termasuk Bukit Bintang, Pudu dan Petaling Street sebelum berakhir di Padang Merbok, di sini.
    
Tinjaun Bernama di beberapa lokasi mendapati ramai pihak yang sebenarnya bersifat terbuka mengenai perhimpunan aman, namun bagi perhimpunan yang dirancang pada 16 Sept ini, mereka berasa sedikit skeptikal.
    
Ini terutama selepas melihat imej tertera di baju ‘Merah’ yang mengandungi imej bayangan orang bersilat dengan tulisan ‘Kebangkitan Maruah Melayu’ dan ‘Tanah Tumpah Darahku’ yang dijual kepada orang ramai di beberapa lokasi sejak minggu lepas.
    
Adil Ismail, 29, pekerja syarikat swasta di ibu negara ketika ditemui berkata maruah bangsa Melayu tidak perlu ditegakkan melalui perhimpunan.
    
"Ada banyak cara yang lebih baik, contohnya, naikkan maruah Melayu melalui ekonomi, bela nasib Melayu yang terjerumus dalam najis dadah contohnya. Tunjuk sifat bangsa Melayu yang lemah lembut, berbudi bahasa. Ini saya rasa lebih baik.
    
"Kita tak nak ‘menang sorak, kampung tergadai’," katanya.
    
Menjawab isu sama, N. Bahveshen, 34, berkata Hari Malaysia sepatutnya dihormati, namun jika benar penganjurannya bersifat perkauman ia akan merosakkan keharmonian kaum yang telah tercapai sebelum ini.
    
"16 Sept ini adalah cuti umum, rancangan saya untuk membawa keluarga saya terpaksa dibatalkan sekiranya perhimpunan itu tetap dijalankan. Saya tak nak bahayakan keselamatan keluarga saya," katanya.
    
Salehien Abdul Rahman,22, berkata penganjuran ini bukan sahaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat bahkan pelancong asing.
    
"Pelancong akan berasa tidak selamat apabila kehadiran mereka (penyokong) berada di kawasan tumpuan pelancong seperti 'Petaling Street'," katanya ketika ditemui Bernama.
    
Pegawai bank itu menarik perhatian, perhimpunan sebegini hanya akan memberi impak negatif terhadap ekonomi negara yang sememangnya sedang menghadapi cabaran.
    
Pendapat sama turut diutara di laman sosial Twitter.
    
Syed Husin [email protected] menulis: "Memang Bajumerah ada hak Perlembagaan berhimpun secara aman. Tapi janganlah bakar api perkauman. Jangan ugut mandi darah melalui poster."
    
LeonardThen @EesanThen pula menulis: "BajuMerah rally should be stopped. Investors always lose faith when there's racism,"
    
Penganjuran perhimpunan dengan nama ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ itu, turut mendapat bantahan 20 badan bukan kerajaan (NGO).
    
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata polis tidak akan membenarkan penganjuran perhimpunan berkenaan atas faktor keselamatan. - BERNAMA

Share on Myspace