6,000 ahli baru, harga dibayar kepada PAS Selangor

SAIDAH HAIRAN | .

PETALING JAYA: PAS Selangor menerima keahlian tertinggi seramai 6,000 orang dalam tempoh tiga minggu berkempen mencari keahlian baru.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, ini adalah harga yang dibayar kepada PAS Selangor yang merupakan negeri yang teramat panas setiap tahun dengan pelbagai krisis.

“Semua orang hendak negeri ini. Negeri Selangor ini bagaikan anak dara, semua orang hendak pinang,” katanya ketika dalam ucapatama Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di dewan sivik, di sini hari ini.

Menurut beliau, tahun lalu Selangor menghadapi krisis Menteri Besar manakala tahun ini `Selangor move’ dan PAS Selangor sangat terkesan kerana berada dalam kerajaan negeri.

Katanya, krisis demi krisis menjadikan pimpinan dan PAS Selangor menjadi lebih matang dan akan menyerlahkan kepimpinan yang boleh kehadapan dan berperanan dengan lebih baik.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, krisis menyerlahkan pimpinan PAS untuk menyelesaikan masalah.

“Alhamdulillah, kita dapat selesaikan masalah ini. Ahli dan kepimpinan PAS Selangor menunjukkan satu komitmen yang tinggi. Ada larangan kita ikut,” katanya.

Katanya, dalam menghadapi ribut taufan PAS Selangor tetap bersatu dan tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan dan merugikan PAS negeri.

Selama ini kata beliau, banyak kenyataan yang keluar tetapi bukan daripada pimpinan PAS negeri semua kenyataan tersebut daripada pimpinan luar Selangor.

Iskandar telah menyerahkan borang keahlian baru itu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

PAS Kawasan Kapar mencatat penyertaan tertinggi melebihi 700 orang sementara Sepang kedua telah menerima cenderhati.

Tuan Guru diiringi Iskandar turut melancarkan logo dengan motto PAS Selangor `Bakti Untuk Semua’.

Kehadiran ahli mengikuti munaqasyah seramai 1,700 orang iaitu melebihi jangkaan. - HARAKAHDAILY 13/9/2015

Share on Myspace