Rusiah jemaah haji Malaysia pertama disahkan terkorban

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji mengesahkan Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak adalah mangsa pertama yang dikenal pasti terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengesahan itu dibuat oleh pasukan Lembaga Tabung Haji yang berada di sana.

"Pasukan Tabung Haji dibenar buat pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu sidang media di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Rusiah antara lapan jemaah Haji Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden kren tumbang itu.

Tujuh lagi jemaah yang gagal dikesan sehingga kini ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Abdul Muluk Ishak, 71, (Pantai Remis, Perak).

Dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram itu, lebih 100 jemaah haji terkorban, manakala beratus lagi cedera termasuk 10 jemaah haji Malaysia.

Jamil Khir berkata pada hari ini merupakan kali pertama pasukan Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan.

"Pasukan perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada pukul 10.30 pagi (waktu Arab Saudi) atau 3.30 petang waktu tempatan.

Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA, sekiranya perlu," katanya.

Katanya, jenazah dikenal pasti oleh pihak TH melalui proses pengecaman wajah tetapi tidak mengetahui lokasi arwah menemui ajal.

Jamil Khir berkata jenazah akan disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Makkah.

Beliau berkata pihak TH telah menghubungi keluarga waris yang diwakili oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk memaklumkan berita sedih itu.

"Kami amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris, serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Jamil Khir juga mengucapkan takziah bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kepada semua anggota keluarga Allahyarham Rusiah.

Katanya beliau juga akan bertolak ke Makkah esok untuk meninjau keadaan jemaah haji di sana.

Mengenai perkembangan 10 jemaah haji tercedera, katanya, kesemua mereka dijangka akan dapat menunaikan ibadat haji pada 22 Sept ini.

Sementara itu di MAKKAH, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata lima daripada 10 jemaah Malaysia yang cedera itu telah dibenarkan pulang ke maktab penginapan masing-masing.

"Jemaah yang dibenarkan pulang ialah Faridah Mat Yacob, Rusiah Baba, Ahmad Muzafar [email protected], Mohd Sharif Meon dan Noordin Wahab," katanya.

Beliau berkata lima lagi masih dirawat, seorang masih ditempatkan di Hospital Raja Abdul Aziz, seorang menerima rawatan di Hospital Raja Faizal, seorang di Hospital An Nur dan dua orang di Pusat Rawatan Tabung Haji. - Bernama

Share on Myspace