Kongres Rakyat pemangkin gerakan rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kongres Rakyat melabuhkan tirai dengan suatu deklarasi yang akan membentuk Pelan Tindakan Rakyat secara objektif dan ianya akan diumumkan pada 1 Zulhijjah 1437 kelak.

"Keseluruhan perjalanan Kongres Rakyat adalah sarat dengan lontaran ilmu, fakta, maklumat dan emosi rakyat yang berasaskan kesedaran dan semangat Membina Malaysia Sejahtera," kata Setiausaha Kongres Rakyat, Nasrudin Hassan.

Menurutnya, penampilan enam tokoh rakyat dengan sudut pandang dari pelbagai bidang kepakaran mereka  disambut pula oleh 14 suara rakyat yang mewakili 200 NGO bersidang adalah sangat bermakna bagi negara yang sedang berhempas pulas untuk membebaskan diri dari kemelut dan polemik yang meragut kesejahteraan.

Tambahnya, Kongres Rakyat telah mendeklarasikan suatu komitmen yang tinggi untuk terus berjuang Membina Malaysia Sejahtera yang memerlukan penggemblengan semua pihak dengan penuh tanggungjawab, berani dan optimis.

Kata Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, ia menjadi pemangkin kepada gerakan rakyat memimpin perubahan tanpa menambah parah situasi negara yang ada pada hari ini.

"Akhirnya, saya mengambil kesempatan mewakili jawatankuasa penganjur memohon maaf dengan sebanyak-banyaknya atas 1001 kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada penganjuran Kongres Rakyat 2015.

"Kami turut rasa dukacita atas kelemahan tersebut dan pastinya kami akan memberi setinggi-tinggi komitmen untuk memperbaiki kelemahan pada siri Kongres Rakyat akan datang," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 13/9/2015

Share on Myspace