Jemaah haji Malaysia kelima terkorban dikenal pasti

BERNAMA | .

SEPANG: Seorang lagi jemaah haji Malaysia yang dikenal pasti sebagai Zainun Taha, 69, disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Makkah Jumaat lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
    
Beliau berkata jenazah Zainun yang berasal dari Ampang, Selangor itu dikenal pasti melalui pengecaman oleh anggota keluarganya di rumah mayat Hospital Muassim, berdekatan Mina.
    
"Setakat ini lima jemaah haji Malaysia terkorban dalam kejadian itu, seorang telah ditemui selamat dan dua lagi masih hilang," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini hari ini, sebelum berlepas ke Jeddah, Arab Saudi.
    
Beliau bersama Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ke sana bagi memastikan segala usaha mencari dua lagi jemaah yang masih hilang berjalan lancar selain memastikan perhatian khusus diberikan kepada jemaah haji yang tercedera serta sokongan moral kepada jemaah haji yang lain.
    
Semalam, beliau mengumumkan empat jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dengan jenazah pertama dikenal pasti ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

Tiga lagi mangsa yang meninggal dunia berasal dari Kelantan yang dikenali sebagai Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku.
     
Jamil Khir juga mengesahkan pihak Tabung Haji (TH) telah menemui semula seorang jemaah Malaysia, yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu, Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak.
    
Dua jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.
    
Jamil Khir berkata kesemua jenazah mangsa akan disembahyang dan dikebumikan di Makkah seperti kelaziman bagi jemaah yang meninggal dunia ketika mengerjakan haji.
    
"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Ma'ala, Makkah yang khusus untuk jemaah haji yang meninggal dunia di sana.
    
"Ini adalah kemuliaan bagi mereka kerana disembahyangkan di Masjidil Haram oleh seluruh jemaah haji dan tentunya ganjaran bagi mereka yang berihram begitu tinggi darjatnya di sisi Allah," kata Jamil Khir.
    
Beliau berkata semua pihak amat berdukacita, bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Allahyarham dan menasihati anggota keluarga untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini.
    
Mengenai 10 jemaah haji Malaysia yang cedera dalam tragedi itu, Jamil Khir berkata mereka telah disahkan mampu mengerjakan wuquf yang jatuh pada 23 Sept ini (9 Zulhijjah). - Bernama

Share on Myspace