Jerebu: 27 kawasan catat IPU tidak sihat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kawasan mencatatkan status bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini.
 
Sementara itu, dua kawasan mencatatkan status kualiti udara tahap baik dan 23 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
 
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, secara keseluruhan status kualiti udara pada pagi ini semakin merosot dengan pertambahan kawasan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu sebanyak 27 kawasan berbanding sebanyak 18 kawasan yang mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat pada semalam.
 
Keadaan berjerebu masih belum pulih sepenuhnya khususnya di kawasan Lembah Klang, di selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan di barat Sarawak. 
 
Antara kawasan yang terlibat adalah Banting di Selangor mencatat bacaan IPU pada kadar 175, dikuti Nilai (170), Putrajaya (163), Seremban (162), Pelabuhan Klang (162), Batu Muda Kuala Lumpur (156), Cheras (149) dan Shah Alam (145).
 
Selain itu, Bukti Rambai, Melaka turut mencatat bacaan pada kadar 143, Petaling Jaya (140), Kuala Selangor (139), Bandaraya Melaka (133), Sri Aman (129), Manjung (124) dan Muar (121).
 
Bagi Samarahan, Sarawak IPU turut mencatatkan sebanyak 120, Pegoh (117), Sarikei (114), Jalan Tasek Ipoh (111), Kuching (109), Pasir Gudang (108), Larkin (107), Kemaman (106), Taiping (102), USM Pulau Pinang (101) dan Balok di Kuantan (101).
 
Punca kejadian jerebu masih disebebkan oleh jerebu merentas sempadan berikutan angin Monsun Barat Daya yang membawa pencemaran asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
 
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan dari berada di luar rumah, mengurangkan aktiviti riadah luar dan sekiranya perlu berada di luar hendaklah memakai penutup hidung dan mulut (mask) serta mendapatkan nasihat kesihatan. - HARAKAHDAILY 14/9/2015
Share on Myspace