Zionis undang siri peperangan baru dunia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan penduduk Zionis Israel bersama Menteri Pertanian zionis menyerbu ke Masjid al-Aqsa jelas merupakan provokasi amat melampau dan cubaan mencetus ke arah siri pertembungan panjang.

Bahkan, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi perbuatan mereka itu yang dilakukan di bawah perlindungan pasukan keselamatan zionis dilihat sebahagian taktikal ketenteraan ke arah pertempuran bersenjata.

Katanya, pengalaman lalu telah membuktikan bahawa tindakan-tindakan sedemikian adalah permulaan kepada kerahan ketenteraan yang menjurus kepada peperangan.

Malah, ujarnya penahanan penjaga Masjid al-Qibli dalam serbuan tersebut serta menghalang para pelajar masuk ke situ, selain lemparan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah penduduk Islam yang sedang bersolat, seakan semboyan ketenteraan dan seruan untuk bertempur.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam pencerobohan dan tindakan membabitkan masyarakat awam tersebut.

"Kami menyeru masyarakat dunia bersolidariti bagi menyatakan bantahan terhadap perkara itu.

"Kami percaya, ianya langkah lanjutan penjajahan Zionis ke atas premis suci itu, sekaligus bakal mengundang peranan sekutu-sekutu Israel bagi meneguhkan cengkaman mereka ke atas Palestin," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti segera dan tidak berlengah lagi untuk mendesak Israel menghentikan serta merta tindakan mereka yang boleh mengundang siri peperangan baru itu.

Menurutnya, ancaman kepada keselamatan mesti ditegaskan sama sekali ke atas sesiapa sahaja tanpa memihak dan seterusnya mengundang persengketaan blok kuasa-kuasa dunia hingga menggugat keamanan sejagat. - HARAKAHDAILY 14/9/2015

Share on Myspace