Allahyarham Rusiah seronok solat depan pintu Kaabah

MOHD SHUKRI ISHAK | .

MAKKAH: "Syukur dapat duduk melihat Kaabah, semalam datang (10 Sept), tapi tak dapat lihat Kaabah. Hari ini dapat posisi baik, bersolat depan Kaabah. Seronok sangat dapat duduk depan bersolat menghadap Multazam (pintu Kaabah) pula".

Demikian kata-kata akhir Allahyarhamah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai Perak, antara lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas, kepada rakan sebilik Zurina Yahya.

Menurut Zurina, 56, dari Alor Star, Kedah, tidak lama selepas perbualan di Masjidil Haram itu, beliau terdengar bunyi riuh rendah dan melihat Kak Rus (nama pangilan pada Allahyarhamah) sudah pun terbaring.

Zurina tiba di tanah suci menerusi penerbangan KT47 pada Rabu lepas (9 Sept) bersama ibu (Khalijah Che Mat, 70-an) dan Che Lian Saleh, 58 (ibu saudara) dan ditempatkan sebilik bersama Jainah Amir (nama pangilan Maksu), 58 dan Allahyarhamah Rusiah yang berasal dari Sungkai, Perak.

Keadaan menjadi panik, hiruk-pikuk dan kelam-kabut dengan jemaah haji bersesak-sesak menyelamatkan diri daripada sesuatu, katanya kepada Bernama.
    
Zurina yang ketika itu sedang duduk sebaris bersolat di Masjidil Haram bersama ibu, ibu saudara dan Maksu, bingkas bangun untuk sama-sama jemaah lain menyelamatkan diri daripada kekecohan yang mereka sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku.
    
"Saya bangun capai tangan ibu dan bersesak-sesak dengan keadaan jemaah lain, saya lihat Kak Rus terbaring, tapi saya tak mampu berbuat apa-apa.
    
"Saya yakinkan diri saya yang Kak Rus akan dibantu jemaah lain atau pasukan keselamatan. Di luar Masjidil Haram hujan lebat ketika itu," katanya.
    
Dalam suasana kelam kabut itu, Zurina yang masih dalam proses pemulihan akibat kemalangan pada 2013, sentiasa memimpin tangan ibunya yang mengalami masalah pendengaran agar tidak terlepas. Ibu saudara dan Maksu (Jainah) juga berada bersama ketika mereka menyelamatkan diri.
    
"Saya masih dalam proses pemulihan untuk berjalan semula dengan menggunakan tongkat. Tapi pada hari kejadian kren tumbang selepas waktu Asar...saya boleh berjalan dan pimpin insan-insan yang saya sayangi mencari arah pulang ke Maktab 89, di bangunan Masaat Al Badae, yang jaraknya 900 meter dari Masjidil Haram," katanya dan menambah berita kematian Kak Rus dimaklumkan kepada mereka sebelum solat Maghrib malam tadi.

Rusiah yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden berkenaan, disahkan sebagai mangsa pertama jemaah Malaysia yang terkorban.
    
Empat lagi yang disahkan terkorban ialah Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah  Merah, Kelantan) dan mangsa terbaharu disahkan hari ini ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor. - Bernama

Share on Myspace