Banggol Donas: Loporan polis MP Kuala Nerus, Adun Teluk Pasu

HARAKAHDAILY | .

Laporan polis isu pencerobohan tanah lot 2596 & 2597, Banggol Donas, Mukim Manir oleh Penguatkuasa Tanah Kuala Terengganu

Pada hari Isnin 14hb September 2015 sekitar jam 7-9 pagi satu pasukan penguatkuasa tanah Kuala Terengganu diketuai oleh Fardiana Hashim dan Mohd Huzir bin Mohamed telah melakukan pencerobohan terhadap tanah dimiliki oleh Zulaidi bin Putih beralamat 2597 B, Banggol Donas, Mukim Manir dan merobohkan rumah di atas tapak tersebut secara tidak mengikut lunas undang-undang.

Kedua-dua mereka juga berniat dan berhasrat untuk menceroboh tanah dan merobohkan 4 buah lagi rumah di sekitarnya dimiliki oleh:

1. Hj Salleh bin Embong beralamat 2597 A, Banggol Donas, Mukim Manir

2. Abd Halim Mohamad beralamat 2596 B, Banggol Donas, Mukim Manir

3. Md Sufian bin Mohamad beralamat 2596 C, Banggol Donas, Mukim Manir.

4. Dayang binti Salleh beralamat 2596 A, Banggol Donas, Mukim Manir.

Tindakan ini melanggar undang-undang negara kerana kelima-lima pemilik tanah dan rumah sebagaimana disebutkan di atas adalah masih pemilik sah bagi premis-premis tersebut mengikut undang-undang negara.

Kerajaan berhasrat mengambil tanah tersebut menurut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah Negara. Namun, keesahan proses pengambilan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan menerusi pertikaian terhadap keesahan notis 425 KTN.

a. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, pengambilan tanah bagi projek pembinaan jalan dan jambatan dari Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong (Fasa I) dan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda, Mukim Manir (Fasa II) yang melibatkan 76 lot tanah bagi fasa 1 dan 184 lot tanah bagi fasa 11 TIDAK DIWARTAKAN di bawah seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT ) 1960 terlebih dahulu.

b. Pemilik tanah tidak pernah diberitahu bahawa tanah mereka akan di ambil oleh kerajaan. Seksyen 4(1) APT 1960 menyatakan.” ....Apabila Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa mana-mana tanah yang diperlukan bagi apa-apa maksud yang disebut dalam seksyen 3 maka suatu pemberitahuan dalam Borang A hendaklah disiarkan dalam warta.”

c. Apabila notis dalam Borang A tidak disampaikan kepada pemilik tanah seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 4(1), ianya tidak ada ketelusan dan menggambarkan ada perkara yang hendak disembunyikan daripada diketahui pemilik tanah dengan niat yang tidak baik.

d. Pejabat Tanah bertindak melanggar seksyen 16 APT 1960 “yang menghendaki menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu “.

e. Pejabat tanah tidak menghantar Borang H tetapi hanya mengeluarkan notis yang tertulis SALURAN 2 meminta menghadiri satu majlis penyampaian cek pampasan. Pejabat Tanah juga bertindak melanggar peraturan apabila menghantar notis (bukan borang H) kepada pemilik tanah untuk hadir mengambil cek pampasan di pejabat tanpa menyatakan nilai pampasan . Sepatutnya cek bayaran disediakan setelah pemilik tanah bersetuju dengan award dalam Borang H atau pun setelah keputusan perbicaraan mahkamah sekiranya pemilik tanah memilih untuk membantah amaun yang ditawarkan dalam Borang H.

Hal ini adalah satu pencerobohan dan pemerkosaan serta kezaliman terhadap hak pemilik membantah amaun pampasan. Juga hak pemilik tanah yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13(ii) ....Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi”.

f. Proses pengambilan tanah tidak mematuhi Seksyen 20 Akta Pengambilan Tanah dengan menyampaikan borang J kepada pemilik. Borang J tidak diterima oleh pemilik sehingga hari ini.

g. Pampasan yang dicadangkan oleh kerajaan belum diterima oleh penduduk kerana masih dalam pertikaian.

Laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa segera melakukan siasatan ke atas pencerobohan oleh pasukan yang diketuai oleh diketuai oleh Fardiana Hashim dan Mohd Huzir bin Mohamed.

Laporan ini dibuat atas kapasiti kami sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili ke lima-lima rakyat yang terjejas dengan tindakan tidak mengikut undang-undang ini.

Sekian laporan kami.

YB Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kawasan Kuala Nerus

YB Ridzuan bin Hashim
Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu - HARAKAHDAILY 14/9/2015

Share on Myspace