Tragedi di Makkah: Kelantan rakam takziah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kemalangan kren di Masjidilharam dua hari lalu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, turut melahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang tidak diduga itu sehingga meragut empat nyawa jemaah haji Malaysia, tiga daripadanya berasal Kelantan.

Katanya beliau mendoakan semoga kesemua mangsa diberikan ganjaran syurga yang kekal abadi.

“Keluarga pula hendaklah bersabar dengan ujian yang berat itu. Semalam pihak Tabung Haji melaporkan seramai empat lagi jemaah haji Malaysia terkorban dalam nahas kren tumbang di Masjidil Haram Jumaat lalu.

“Tiga daripada jemaah haji tersebut ialah rakyat Kelantan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Ustaz Ahmad berkata pada hakikatnya Allah Taala memberi kemuliaan kepada mereka kerana meninggal dunia di Tanah Suci yang sangat diberkati dan dalam keadaan mengerjakan ibadat haji.

Beliau juga yakin Tabung Haji bersungguh-sungguh menangani masalah dihadapi jemaah haji di sana dengan sebaik mungkin.

“Di kesempatan ini saya turut memohon kemaafan daripada semua kerana saya dan isteri juga akan mengerjakan ibadat haji dan akan berangkat ke sana petang ini.

“Doakan kesejahteraan dan kesihatan saya serta seluruh jemaah haji Malaysia sepanjang berada di sana, mudah-mudahan Allah mengurniakan haji yang mabrur dan diredhainya,” tambahnya.

Empat jemaah haji dari Kelantan yang terkorban dalam nahas tersebut iaitu Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37 dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku.

Rusiah Suar, 56, dari Sungai, Perak dikenal pasti sebagai jemaah Malaysia yang pertama terkorban dalam insiden berkenaan.

Bagaimanapun media melaporkan tiga lagi jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, Kodiang, Kedah dan Zainun Taha, 69, Ampang, Selangor. – HARAKAHDAILY 14/9/2015

Share on Myspace