Kongres Rakyat: Sinar untuk generasi muda

HARAKAHDAILY | .

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)


Rakyat dilibat sama.

Penganjuran Kongres Rakyat 2015 adalah manifestasi denyut nadi rakyat.

Program yang julung kali dianjurkan ini berjaya menghimpunkan segenap lapisan rakyat dan NGO, bagi mendengar rintihan dan suara hati rakyat, selain menjadi wadah mengemukakan idea rakyat, seterusnya memangkin kebangkitan kuasa rakyat, demi kelangsungan hidup dan masa depan rakyat.

Penganjuran kongres yang begitu padat dan sarat dengan idea bernas ini adalah selaras dengan apa yang diungkapkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucaptama beliau, “Kita mesti menyelesaikan masalah kita sendiri di Malaysia”.

Membina Malaysia Sejahtera.

Pemilihan tema kongres ke arah ‘Membina Malaysia Sejahtera’ adalah sangat tepat. Ini kerana, matlamat utama pembangunan sebuah negara bukan sekadar untuk mencapai kemajuan yang diukur dengan angka, malah lebih jauh daripada itu, sebuah kemajuan yang membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat dan generasi masa depan.

Penelitian kepada tujuh usul yang menjadi teras kepada Deklarasi Rakyat Shah Alam yang dibentangkan di penghujung kongres tersebut menyerlahkan hasrat dan iltizam setiap rakyat Malaysia yang mendambakan sebuah negara yang lebih sejahtera.

Pertama, seruan untuk bermula dengan rakyat perlu bersatu bagi membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional; dan kedua, saranan untuk membangkitkan kesedaran rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan; manakala yang ketiga tindakan bersepadu untuk mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus demi kestabilan dan keharmonian negara.

Keempat, mengangkat agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik; manakala kelima, agenda untuk mengangkat nasib dan kebajikan golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.

Keenam, mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara; serta yang ketujuh, menggesa supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Di samping usul dan deklarasi tersebut, terdapat banyak saranan dan rekomendasi yang telah dibentangkan oleh tokoh-tokoh jemputan dan wakil-wakil NGO, yang pastinya dapat menjadi pelengkap kepada dokumen polisi yang pernah dikemukakan PAS sebelum PRU13 yang lepas, iaitu Dokumen Negara Berkebajikan, seterusnya menjadi kerangka untuk perincian polisi dan program ke arah merealisasikan hasrat murni ini.

Sesungguhnya, penganjuran Kongres Rakyat di tengah kekalutan ‘jerebu’ politik, ekonomi dan sosial yang sedang melanda negara ini, telah membuktikan bahawa rakyat bukan sekadar mahu berhimpun untuk menyatakan bantahan, tetapi telah mengorak langkah ke hadapan dengan mengemukan resolusi ke arah penyelesaian.

Pastinya golongan yang paling mendapat manfaat daripada penganjuran Kongres Rakyat ini adalah generasi muda, pewaris masa depan negara. - HARAKAHDAILY 14/9/2015

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM

Share on Myspace