Kevin Morais: Polis yakin selesai dalam masa terdekat

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis yakin kes kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, dapat diselesaikan dalam masa terdekat berdasarkan beberapa pertunjuk baharu yang diperoleh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta Morais dihalang oleh sebuah kereta lain sebelum dia ditarik keluar dan dibawa lari.

"Kami akan selesaikan kes tersebut dalam masa terdekat dan setakat ini kita sudah ada petunjuk baharu," katanya dalam sidang media Mesyuarat Biro Maritim Antarabangsa di sini Isnin.

Berhubung kereta yang dijumpai terbakar di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak di Hilir Perak yang didakwa milik Morais, Khalid berkata siasatan masih berjalan.

Setakat ini tidak ada sebarang panggilan menuntut wang tebusan, katanya. Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan polis tidak menjumpai sebarang bukti yang boleh mengaitkan kenderaan tersebut dengan Morais.

Morais dikatakan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur, dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q pada 4 Sept lalu untuk ke pejabatnya di Putrajaya. - Bernama

Share on Myspace