MB Kelantan bertolak ke Makkah tunai haji

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Hampir 1,000 pemimpin kerajaan negeri, wakil rakyat dan penyokong PAS mengucap ucapan selamat jalan kepada Menteri Besar yang akan menunaikan ibadat haji.

Turut hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang tadi Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama isteri, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid dan 10 lagi ahli rombongan dijangka bertolak ke Makkah pagi esok.

Mereka termasuk Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Syamsul Abu Bakar dan pegawal keselamatannya, Tengku Hussin Tuan Ibrahim.

Sebaik tiba di lapangan terbang Ustaz Ahmad disambut orang ramai yang hadir. Ada yang memasang sepanduk bagi mengucap selamat jalan.

Menteri Besar kelihatan begitu ceria dan terharu di atas kehadiran orang ramai. Beliau turut mengambil kesempatan bersalaman dengan mereka.

Beliau juga membaca doa dengan diaminkan orang ramai bagi mempermudahkan perjalanannya menunaikan ibadat haji.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud berharap rakyat Kelantan mendoakan keselamatan Menteri Besar, keluarganya serta semua jemaah haji dari seluruh Malaysia supaya selamat dan mendapat haji mabrul.

“Semoga dengan doa kita bakal-bakal haji dari Malaysia dan seluruh dunia dibebaskan daripada tragedi seperti berlaku Jumaat lepas,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/9/2015

Share on Myspace