PAS Selangor rakam dukacita insiden di di Masjidil Haram

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor merakamkan perasaan dukacita atas insiden kren tumbang di Masjidil Haram yang berlaku pada hari Jumaat, 11 September lalu.

Insiden tersebut dilaporkan terjadi akibat kren yang tumbang berhampiran pintu As-Salam dan runtuhan bangunan menimpa Bangunan Sa’ie berdekatan dengan mataf.

"PAS Selangor mewakili ahli-ahli dan pimpinan PAS negeri merakamkan rasa amat berdukacita dan bersimpati, serta mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga jemaah haji yang terlibat.

"Semoga ahli keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Kita juga mendoakan agar diberikan kesembuhan kepada jemaah yang tercedera," ujar Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, PAS negeri juga merakamkan setinggi penghargaan kepada para petugas, pasukan perubatan, pasukan kebajikan dan peronda serta pasukan mencari dan menyelamat Tabung Haji yang telah bertungkus lumus memberi bantuan dan rawatan kepada para jemaah haji. - HARAKAHDAILY 14/9/2015

Share on Myspace