Jerebu: Umat Islam diseru solat hajat, qunut nazilah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh umat Islam khususnya pihak masjid mengadakan solat hajat berserta bacaan doa Qunut nazilah dalam solat fardhu berjamaah untuk bermohon kepada Allah agar menyelamatkan kita semua daripada bahaya jerebu.

Menurut Ketua Penerangan DUPP Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Qunut Nazilah adalah amalan terbaik sebagaimana pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW meskipun tidak menjadi amalan meluas masyarakat Islam di Malaysia.

"Musibah yang sedang menimpa kita ini akan mengingatkan kita kepada nasib kaum-kaum terdahulu yang pernah ditimpakan bencana ke atas mereka sebagai hukuman daripada Allah.

"Akibat meninggalkan perintahnya justeru menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada kita untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan selari dengan tuntutan Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

DUPP juga berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas arahan penutupan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka pada hari ini.

"Sewajarnya arahan ini dipanjangkan dan dikuatkuasakan juga ke atas universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta," katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace