Ada pihak gelabah ramai sertai himpunan istiqamah

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Kejayaan Pemuda PAS Kelantan menghimpunkan ribuan anak muda pada Himpunan Anak Muda Istiqamah (Hamasah) di Pasir Puteh, Jumaat lepas dicemburui pihak tertentu.

Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim berkata, sasaran 10,000 anak muda hadir pada program berkenaan menjadi kenyataan.

Katanya pihak terbabit begitu cemburu di atas kejayaan Pemuda PAS Kelantan menganjurkan program tersebut.

“Biarpun mereka sebelum ini berjuang bersama PAS namun sekarang mahu kepimpinan ulama dipinggirkan dari arus perdana politik,” katanya di sini.

Program himpunan istiqamah Jumaat lepas bermula sebelah pagi dengan perhimpunan pendekar muda yang dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman.

Kemudian diikuti persembahan aerospace, himpunan guru-guru Pasti, pembahagian beras al itaam, persembahan motosikal kuasa besar dan pertunjukan autoshow.

Dan pada sebelah petang pula pelancaran ARC Kelantan oleh anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Bagaimanapun kehadiran yang begitu ramai itu cuba dinafikan pihak tertentu apabila menganggap laporan Harakahdaily sebagai satu pembohongan.

“Sedangkan apa yang berlaku di sebaliknya, paparan foto yang dikatakan puluhan ribu itu adalah dusta dan tidak benar.

“Cekupan dari udara memperlihatkan suasana padang begitu lengang malah ketika ucapan Presiden PAS hanya beberapa baris yang kelihatan,” kata sebuah blog yang dipercayai ada kaitan dengan serpihan PAS.

Petang Jumaat lalu juga boleh dilihat deretan anak muda berbaju hijau di sepanjang laluan ke Pasir Puteh termasuk dari arah Kota Bharu, Machang, Bukit Yong dan Tok Bali.

Mengujakan lagi apabila Masjid Ibrahim dipenuhi warnai hijau ketika solat Asar, Maghrib dan Isyak.

“Apa yang berlaku Jumaat lalu memperlihatkan kebangkitan anak muda Kelantan. Inilah yang membuat pihak tertentu menjadi gelabah,” ujarnya.

Pada program tersebut juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari menyerahkan sebanyak 2,051 borang anak muda memohon menyertai PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Paling banyak borang permohonan dihantar Pemuda PAS Dun Kuala Balah iaitu sebanyak 191 permohonan yang dikumpul dalam tempoh seminggu. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace