Lompat parti: Rakyat menilai, terpulang kepada individu

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan individu yang lompat parti sebagai tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, walaupun tiada tindakan boleh diambil dari sudut perundangan tetapi rakyat menilai apa yang berlaku terutamanya mereka yang lompat parti.

"Lompat parti mungkin tidak boleh diambil dari sudut perundangan tetapi ia merupakan keburukan moral seseorang individu, malah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat menilai dan terpulang kepada individu yang terlibat," katanya pada porgram Bicara Harakah di MyHarakah Bazar hari ini.

Menurut beliau, walaupun ada alasan tersendiri tentang lompat parti yang mengatakan mereka menang atas nama Pakatan Rakyat.

Namum, mereka harus faham untuk menjadi calon dari mana-mana parti ia harus mendapat watikah perlantikan daripada Presiden atau Setiausaha Agung.

"PAS adalah parti terbesar orang Melayu selain Umno, kekuatan kita dari akar umbi dan kita tidak tergugat apabila ada yang meninggalkan kita.

"Walaupun dua Adun lompat parti, PAS tidak tergugat dan boleh meneruskan tugas seperti biasa," katanya lagi.

Adun Paya Jaras itu juga menggesa setiap parti perlu menghormati dasar parti masing-masing dan bukannya turut sama mengganggu perjalanan parti lain.

"Hormati dasar parti masing-masing dan jangan nak masuk dalam kain parti lain.

"Rasanya sudah sampai masanya perkara ini dibincang bagi memastikan setiap parti itu menghormati hak parti lain," sambung beliau lagi.

Turut menjadi panel adalah Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad (Pesuruhjaya PAS Selangor), Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan dan Ketua DHPP Negeri Selangor, Datuk K. Derpakaran. – HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace