Kelantan taja keluarga mangsa kren ke Makkah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Berita gembira bagi keluarga nahas kren di Masjidil Haram Jumaat lepas, apabila mereka berpeluang menemui ahli keluarga yang sedang mengerjakan ibadat haji di sana.

Kerajaan Kelantan akan menaja seorang daripada keluarga terdekat mangsa untuk membolehkan mereka menemui saudaranya di Makkah.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada kelulusan visa oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, sekiranya isteri yang meninggal akibat tragedi kren terbalik, namun suaminya selamat, maka anak boleh bersama ayah mereka di sana.

“Sekiranya kemalangan menimpa suami, isterinya dicadangkan ke Makkah dan begitulah sebaliknya.

“Tujuannya untuk memberi semangat, nasihat, dorongan atau seumpamanya selepas terpaksa melalui saat-saat duka ekoran kejadian itu,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Bagaimanapun kata beliau kos keseluruhan belum lagi dapat dipastikan kerana ia masih lagi di peringkat awal.

Menurutnya semua perbelanjaan termasuk penerbangan, pengangkutan dan penginapan akan ditanggung kerajaan negeri setelah mereka memperolehi visa.

Beliau juga berkata Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang turut berangkat ke Makkah hari ini dijangka menemui keluarga mangsa terlibat di sana.

Pada tragedi Jumaat lepas lima jemaah Malaysia disahkan terkorban di mana tiga daripadanya berasal Kelantan iaitu Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai dan Munah Jusoh, 73, Cherang Ruku;

Dua lagi mangsa iaitu Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor. Manakala dua lagi mangsa masih hilang. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace