Kelantan bantu keluarga mangsa kren tumbang

SALMAH MAT HUSAIN | .

PASIR PUTEH: Mangsa kren tumbang di Masjidil Haram menerima sumbangan daripada kerajaaan negeri yang disampaikan anggota Exco, Mumtaz Md Nawi.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Kebajikan mengunjungi keluarga Allahyarham Munah Jusoh di Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Selain itu keluarga Ustaz Mat Deris Mohd Noor, 62, di Bachok yang cedera akibat kejadian tersebut juga menerima bantuan serupa.

Anak Allahyarham Munah, Che Wil Che Muda, 41 melahirkan rasa terharu di atas keprihatinan kerajaan negeri termasuk berusaha menghantar seorang wakil dari setiap keluarga mangsa yang terlibat ke Makkah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji kerana menguruskan jenazah ibunya di sana.

“Saya cukup terharu kepada semua pihak yang membantu ibu bapa kami di sana dan memberi sokongan pada kami di sini,” katanya di sini.

Menurutnya juga ayahnya Che Muda Che Tahir, 76 akan meneruskan ibadat haji walaupun ibunya meninggal dunia.

Sekiranya berpeluang beliau juga akan ke Makkah menunaikan ibadat haji bersama ayah memandangkan perbelanjaannya akan diurus kerajaan negeri.

Hari ini beliau turut menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada seorang usahawan Gan Leong Piow. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace