Makkah dan Peristiwa Jumaat 11 Sept 2015

HARAKAHDAILY | .

Catatan dari Makkah oleh Ustaz Mohd Nasir Zakaria

Ia adalah pengalaman peribadi yang tidak terlupakan ketika fokus ibadah mula tertumpu ke Masjidil Haram di ambang Zulhijjah. Seperti kebiasaan pada hari Jumaat, Masjidil Haram penuh sesak sejak pagi. Pagi yang cerah dan ceria dan panas sudah mula di penghujung. Kira-kira 40 darjah celcius berbanding 44 darjah celcius pada dua minggu yang lepas.

Saya berada di tingkat tiga masjid. Jam 5:10 petang, selepas solat Asar,  saya dan isteri tidak balik ke penginapan. Suasana panas dan perjalanan ke Hotel Abraj Janadriyah yang merupakan pusat operasi Tabung Haji  kurang lebih 20 minit. Tunggulah Isyak.

Cuaca yang cerah menganjak berubah. Angin panas mengandungi pasir berterbangan mula menerpa. Ya, segenap arah. Pasir memenuhi ruang solat. Ia persis ribut pasir beberapa hari sebelum itu. Ia pengalaman kedua saya ribut pasir di Masjidil Haram. Saya kejutkan seorang rakan Xin Jiang di sebelah saya sambil menunjuk ke arah tempat tawaf.

Saya terus bangun menerpa ke penghadang di hadapan mengadap tempat tawaf. Kelihatan kawasan tawaf kelabu dengan angin pasir. Sudah berbalam. Angin semakin ganas. Plastik dan kertas mula berterbangan di udara. Suasana mula panik. Namun, aktiviti tawaf berjalan seperti tiada apa yang berlaku. Saya rakam situasi itu.

Perubahan mendadak berlaku. Langit mula gelap. Angin lebih ganas disertai hujan lebat. Saya dapati pusingan tawaf bergerak sangat pantas. Tidak pernah sepantas itu. Sangat menakjubkan.

Orang ramai mula berdoa. Saya cuba turut serta sambil merakam. Tetiba, saya lihat di sebelah kiri saya, kren patah dari belakang menghentam konkrit  tingkat paling atas masjidil Haram yang masih di dalam pembinaan. Bunyi sangat kuat dan menggegarkan kawasan masjid. Terlalu kuat hentaman itu. Besi kren berkecai dan serpihannya melayang ke udara.

Para jemaah mula menjerit. Saya berlari ke bahagian belakang mencari Isteri. Ia sangat pantas dan kelam-kabut. Panik. Pucat masing-masing. Jeritan disulami laungan bersipongang. Masing-masing berlarian tanpa arah. Mencari kawan atau pasangan.

Saya dan isteri ke arah kiri. Ke arah pintu keluar melalui tempat Sa'ie. Ternampak seperti sorang tuan sedang tidur. Isteri minta saya kejutkan. Belum sempat apa-apa,  kelihatan seorang rakyat Malaysia, seorang anak muda yang saya kenali mengerang kesakitan. Sambil di pangku isterinya. Beliau menunjukkan ke arah kaki yang benjol.

Barulah ketika itu kelihatan gelimpangan jenazah. Sekira lima atau enam. Darah merah berpecikan di ruang solat. Agak ramai yang cedera.

Pihak berkuasa Masjidil Haram mula mengawal suasana. Memberi arahan agar bergerak ke ruang Saie atau ke ruang lebih dalam masjid. Saya dan isteri bergerak ke dalam. Pintu keluar dari ruang solat di tutup. Kami terperangkap.

Di ruang tawaf pada jemaah menyerbu keluar. Kami yang berada di ruang atas tawaf menyaksikan pintu tawaf yang di tutup dengan kepingan penghadang plastik tebal mula robek. Ditendang dan dipecahkan. Jemaah dari ruang tawaf bertolak-tolakan panik. Kasihan ibu-ibu yang uzur dan berkerusi roda.

Jemaah yang berjaya melepasi hadangan kelihatan amat lemah. Ada yang cedera. Ada yang meraung memanggil-manggil seseorang. Yang berdoa, membaca al-Quran dan menangis bercampur baur. Ada yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa mengambil gambar dan merakam suasana ruang tawaf paling bawah. Mayat bergelimpangan kata mereka.

Jemaah yang cedera mula dipindahkan ke hospital. Mayat mula diangkat. Bunyi siren polis serta ambulans bersahutan memecah suasana.

Azan Maghrib dikumandangkan. Cukup sayu dan menginsafkan. Azan yang sedih. Bergenang airmata mendengar azan itu.

Imam membaca surah yang ringkas, Az-Zalzalah. Surah berkaitan suasana kiamat. Sedih dan mengesankan. Suasana kiamat itu lebih hebat.

Kami solat dalam dengan air hujan yang memenuhi ruang solat dan airmata. Kami dikuarantin sehingga Isyak. Selesai solat. Kami terus diarahkan keluar.

Mengharungi ruang solat yang digenangi darah dan percikan anggota badan. Allahuakbar. Pengalaman ini menakjubkan.

Sampai di ruang saei masih ramai yang sedang menangis. Saya kira sorang perempuan India berumur lingkungan pertengahan 50-an menangis dan meraung. Tak sampai hati melihatnya. Di pertengahan ruang saei kelihatan melalui cermin, puluhan buah ambulan berderetan. Kereta polis juga begitu banyak.

Kami sampai di luar masjid, suasana tunggang langgang. Tiang-tiang lampu patah. Penghadang kawasan pembinaan terbalik. Ribut itu cukup hebat rupanya. Jangkaan saya kematian dalam 20 orang. Rupanya lebih ramai. Mencapai angka ratus. Belum dikira ratusan yang cedera. Saya kira bukan semuanya akibat ditimpa serpihan besi. Ramai yang mungkin terpijak dalam suasana gawat dan panik.

Semoga diri ini mengambil pengajaran ujian Allah ini. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Penulis adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Terap.

Share on Myspace