Parlimen Tumpat setuju ditandingi PAS sekian lama

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Kerusi Parlimen Tumpat sudah dipersetujui ditandingi PAS sejak sekian lama, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kedudukan anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai PKR.

“Jadi tidak timbul PAS akan mengambil balik kerusi itu pada Pilihan raya Umum ke-14 memandangkan Parlimen Tumpat milik PAS.

“Cuma sekarang ini Datuk Kamarudin membawa larikan kerusi tu apabila menyertai PKR,” ujarnya.

Beliau yang Timbalan Menteri Besar menjelaskan menjadi amalan biasa surat pekeliling diedar kepada mana-mana kakitangan lantikan politik bagi mengelakkan tindak tanduk mereka menjejaskan parti dan kerajaan.

Menurutnya, kedudukan mereka sentiasa disemak dari semasa ke semasa.

Katanya mana-mana negeri yang diperintah parti yang menang pada pilihan raya akan melantik kakitangan tertentu atas asas politik.

“Jadi mereka berkhidmat mengikut kehendak kerajaan. Lebih-lebih lagi sekarang muncul parti baru pula.

“Setakat ini belum dapat diputuskan lagi apa tindakan sekiranya ada yang terlibat dengan parti baru atau seumpamanya. Lagi pun belum ada laporan yang diterima mengenainya.

“Kalau mereka tidak lagi boleh meneruskan aspirasi kerajaan atau tidak boleh membantu kerajaan, jadi tiada keperluan untuk kita kekalkan mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Sebelum ini beredar di laman sosial surat ditandatangani Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat kepada mana-mana agensi yang ada kaitan dengan pelantikan politik.

Agensi yang dilantik secara kontrak secara pelantikan politik termasuk Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Belia dan Sukan, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan.

Selain itu Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Urusetia Penghulu Kelantan dan Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.    

Mohd Amar juga berkata kerajaan negeri belum menerima sebarang permohonan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi mendapat dana untuk membayar gaji pemain yang tertunggak.

Katanya, tiada permohonan rasmi kepada kerajaan negeri diterima setakat ini.

Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mendakwa telah menulis surat kepada Menteri Besar untuk memohon dana bagi membayar gaji pemain yang tertunggak pada Mei dan Jun lepas. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace