Tabung Haji wajar urus kunjungan keluarga mangsa

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan takziah dan simpati atas kejadian lima jemaah haji Malaysia menjadi mangsa korban kren tumbang yang berlaku pada 11 September lalu di Masjidil Haram.

Pihak Tabung Haji memaklumkan kelima-lima mereka telah dikenalpasti dan dimaklumkan kepada waris mangsa kejadian tersebut.

"Saya mewakili PAS mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat di mana ini adalah satu ujian daripada Allah dan anggaplah juga ini adalah satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah swt. kepada keluarga mangsa," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan ketika ditemui pada sidang media Himpunan 60K di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Beliau juga berharap agar pihak Tabung Haji dapat menguruskan isu ini dengan sebaiknya tambahan pula dilaporkan masih ada lagi beberapa jemaah haji Malaysia yang masih belum ditemui.

"Tapi kalau boleh ada laporan yang bersifat rasmi daripada pihak kerajaan untuk kita tahu punca sebenar yang berlaku," ujarnya.

Tambah beliau yang inginkan pihak Tabung Haji juga dapat menguruskan pemergian atau kunjungan ahli keluarga mangsa ke tanah suci sebagai tanda penghormatan terakhir.

Kata beliau lagi, insiden menyayat hati ini memerlukan penjelasan dan maklumat yang benar serta tepat dari pihak pengurusan Tabung Haji memandangkan ada lagi beberapa rombongan jemaah haji yang akan pergi menunaikan haji.

AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menggesa pihak Kerajaan Arab Saudi membayar pampasan kepada pihak keluarga mangsa yang terbabit.

Katanya, meskipun menganggap itu satu takdir, namun disebabkan kecuaian yang berlaku kerajaan Arab Saudi harus bertanggungjawab.

"Bagaimana SOP untuk kawasan itu, keselamatannya kerana ketika itu adalah dengan keadaan mereka telah tahu bahawa jemaah Haji akan datang ke kawasan itu, walaupun sedang dalam proses pembinaan, namun SOP keselamatan itu harus diutamakan," kata beliau yang juga aktivis tanpa sempadan Muslim Care.

Selain itu Kerajaan Malaysia diminta cakna kepada urusan kesemua jemaah haji yang terbabit dan melihat soal kebajikan keluarga mangsa.

Tabung Haji selaku pihak yang menguruskan jemaah haji selain menimba keuntungan melalui wang pendeposit harus menjalankan amanah untuk membantu keluarga mangsa, kata beliau.

Kejadian yang berlaku pada hari yang penuh kemuliaan itu mendapat simpati dari seluruh dunia terutamanya netizen-netizen dari laman sosial.

Disahkan mangsa yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, dari Perak, Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan, Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan dan Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor.

Dua lagi jemaah yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah. - HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace