5 jenazah jemaah Malaysia dikebumi di Tanah Haram

BERNAMA | .

MAKKAH: Lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas, selamat dikebumi selepas solat subuh, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata semua jenazah yang sebelum ini ditempatkan di rumah mayat Muaissem di Mina telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat subuh tadi.

"Semua jenazah dikebumikan di syara'ik di Tanah Haram ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu sebelum ini ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku; dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.

Beliau berkata pihak Tabung Haji menerusi kerjasama dengan Muassasah Asia Tenggara masih berusaha mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia yang masih hilang dalam tragedi kren tumbang itu.

Jamil Khir berkata pihak TH juga masih dalam proses membuat pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem dalam usaha mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia terbabit.

Bagaimanapun usaha mencari mereka di tempat-tempat lain seperti di sekitar Masjidil Haram, hotel dan hospital di sekitar Makkah, masih diteruskan.

Dua jemaah haji yang masih hilang dalam kejadian yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Jamil Khir bersama Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Arab Saudi semalam dalam tugasannya untuk memastikan segala usaha mencari dua lagi jemaah yang masih hilang berjalan lancar, selain memberikan sokongan moral kepada jemaah haji lain.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin.

Sementara itu, isteri kepada Shahidan, Maziatunazwa [email protected], 46, berkata kali terakhir mereka bertemu ialah pada Jumaat lepas di maktab 89, di bangunan Abraj Al-Janadriah, selepas suaminya pulang dari mengerjakan solat Jumaat.

"Pada waktu asar, dia pergi semula ke Masjidil Haram...saya reda dengan apa jua ketentuan Illahi," kata surirumah kepada pembantu makmal itu.

Sementara itu, rakan sebilik kepada Shahidan dan Abdul Habib iaitu Mohd Zainol Ramli, 54, berkata pada hari kejadian beliau tidak bersama mereka untuk ke masjid kerana berjanji pergi ke Masjidil Haram bersama isterinya.

"Pak Long (panggilan kepada Abdul Habib) juga rakan sekampung saya di Sik, Kedah, kami datang dengan penerbangan sama KT7 pada 17 Sept lepas. Secara kebetulan kami di sini juga ditempatkan satu bilik di Abraj Al-Janadriah ini.

"Kami jadi rapat sejak berada di sini, sejak dari Madinah lagi. Kami (Mohd Zainol, Shahidan dan Pak Long) sering bersama ke masjid, cuma pada hari kejadian kami tak pergi bersama," katanya. - Bernama

Share on Myspace