Kuasa autonomi dan hak rakyat Sarawak

HARAKAHDAILY | .

NAMA asal sebenar Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Walau bagaimanapun, menurut beberapa pendapat nama Sarawak diperoleh seperti berikut:
 
Nama Sarawak berasal daripada nama Sungai Sarawak. Sungai Sarawak meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" menganjur dari pedalaman Kuching di Bau sehingga ke Samarahan.

Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu "serawak" yang mengandungi belerang dan antimoni (Rujuk Kamus Dewan edisi 3). Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak dibawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak ketika itu kaya dengan antimoni.
 
Sarawak dikatakan berada dibawah kekuasaan kerajaan Sriwijaya pada kurun-10 hingga kurun-13. Orang Melayu telah membuka penempatan mereka di Santubong yang merupakan antara pelabuhan entrepot terpenting di Nusantara.
 
Apa yang dikenal pasti, Sarawak terletak dibawah penguasaan Kesultanan Brunei pada awal abad ke-19.

Sarawak adalah sebuah wilayah yang tidak dikawal rapi oleh Kesultanan Brunei pada awal abad ke-19. Kemudian pada tahun 1839, Gabenor Sarawak, Raja Muda Hashim menghantar surat kepada James Brooke.
 
Beliau meminta bantuan dari James Brooke untuk membantu menenangkan keadaan Sarawak yang kacau bilau ketika itu. Pejuangan Dayak menentang penjajah Brunei terbukti hebat manakala James Brooke yang mempunyai angkatan perang yang lengkap dan beberapa kali cuba menenangkan pejuang Dayak. Sebagai balasan, James Brooke dilantik menjadi Gabenor Sarawak pada 24 September 1841, dan seterusnya menjadi Rajah pada 18 Ogos tahun berikutnya.
 
Dinasti Brooke memerintah Sarawak selama seratus tahun dan mencapai kemasyhuran sebagai “Raja Putih” (White Rajahs). Walaupun demikian, tarafnya sebagai Raja di dalam protokol kerajaan England adalah di lapisan kedua selepas Raja-raja India.
 
Mereka memerintah dengan bantuan pemimpin tempatan dan menggaji pahlawan Dayak sebagai askarnya. Mereka juga menggalakkan imigrasi kelas perdagangan Cina datang ke Sarawak.
 
Jepun menyerang Sarawak pada 1941 dan menguasainya sepanjang Perang Dunia Kedua. Pada masa kekalahan Jepun pada 1945, Sarawak ditadbir oleh British Borneo Civil Affairs Unit yang dikawal selia oleh tentera Australia.
 
Ia kemudian diserahkan kepada kerajaan British pada 1 Julai 1946. Sepanjang pemerintahan British tersebut Sarawak ditadbir oleh Pejabat Tanah Jajahan di London.
 
Pengambilan Sarawak sebagai Tanah Jajahan British di Timur telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada penduduk tempatan mahupun antarabangsa kerana British telah memungkiri janji mereka semasa menandatangni Piagam Atlantik 1941 iaitu tiada perluasan wilayah; perubahan wilayah adalah atas kehendak rakyat; pemulihan pemerintahan sendiri yang telah dinafikan sebelum ini; hak dalam memperoleh bahan mentah dan pengurangan sekatan perdagangan; kerjasama global untuk menjamin keadaan ekonomi dan sosial yang lebih baik untuk semua; kebebasan dari rasa takut dan berkeinginan; kebebasan di laut; menghentikan amalan keganasan serta pelucutan senjata di seluruh dunia.
 
Sepanjang tiga tahun pertama rakyat Sarawak hanya diikitiraf sebagai Subjek British, penentangan demi penentangan dilakukan oleh rakyat Sarawak yang mahukan sama ada berkerajaan sendiri dengan Merdeka ataupun mahukan Rejim Brooke memerintah semula.
 
Peristiwa terbesar yang berlaku pada masa itu ialah pembunuhan Duncan Steward, Gabenor Sarawak yang kedua di Sibu oleh seorang anak muda belasan tahun bernama Rosli Dhoby. Pembunuhan ini berlaku pada 3 Disember 1949.
 
Pada 22 Julai 1963 rakyat Sarawak telah diberi taraf berpemerintahan sendiri dengan Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Pertama bagi negeri Sarawak. Taraf berpemerintahan sendiri ini ialah setaraf dengan negeri-negeri naungan British yang lainnya kerana Sir Alexander Waddell masih lagi menjawat jawatan Gabenor sehingga 15 September 1963.
 
Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan baru diwujudkan di bawah nama Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak walaupun dibantah sebahagian penduduk pada mulanya. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia akan tetapi telah menarik diri akibat tentangan sebahagian rakyat Brunei.
 
Begitulah sedikit gambaran sejarah tentang Sarawak yang telah membentuk Malaysia dimana masih lagi jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan infrastuktur berbanding dengan semenanjung Malaysia akibat keadaan bentuk muka bumi serta keluasan tanah Sarawak yang sebesar Semananjung Malaysia.
 
Penduduknya yang terdiri dari berbagai kaum, etnik serta berbilang agama dan kepercayaan tetapi hidup bertaburan serta ramai yang masih belum memiliki tanah sendiri walaupun mereka ini mewarisi tanah dari datuk nenek moyang mereka.
 
Ada sesetengah pihak mahu referendum atau pungutan suara dari penduduk Sarawak untuk membentuk kerajaan sendiri dan kuasa autonomi agar Sarawak dapat ditadbir sepenuhnya oleh rakyat Sarawak tanpa campur tangan dari kerajaan persekutuan. Buat masa ini kuasa autonomi Sarawak hanya meliputi pengurusan tanah, sumber hutan dan imigresen menurut Perjanjian Persekutuan Malaysia yang ditandatangani pada 13 September 1963.
 
Persoalannya sekarang adakah dengan adanya referendum dan kuasa autonomi Sarawak dapat mengambalikan semula hak tanah adat penduduk asal Sarawak yang telah dikuasai oleh golongan kapitalis selama ini. Mampukah kerajaan Sarawak menggunakan kuasa autonomi yang ada sekarang memberi pembangunan dan kebajikan kepada penduduk Sarawak terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak?
 
Sudah berpuluh-puluh billion ringgit peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sarawak tetapi kemana perginya peruntukan tersebut sehingga menyebabkan Sarawak masih lagi dikategori miskin dalam Malaysia. Kuasa autonomi dan hak rakyat Sarawak perlu digunakan untuk manfaat rakyat Sarawak terutama kepada penduduk asal Sarawak yang masih mundur dan miskin walaupun mereka memiliki harta pusaka seperti tanah dari datuk nenek moyang mereka dulu tetapi sudah banyak tanah pusaka mereka yang telah diambil oleh pihak [email protected] yang mendapat lesen dari pihak pemerintah kononnya untuk pembangunan.
 
Memang Sarawak perlu kuasa autonomi tapi ianya perlu digunakan sebaik mungkin untuk kebajikan penduduk Sarawak bukannya untuk kepentingan pihak tertentu untuk terus menopoli ekonomi serta menguasai tanah pusaka penduduk Sarawak untuk tujuan pembangunan sedangkan rakyat tempatan terus hidup dalam kemiskinan.
 
Kita mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak agar dapat memberi setiap penduduk asal Sarawak tempat tinggal yang selesa serta tempat untuk mereka bercucuk tanam supaya memudahkan mereka berdikari dan menyara kehidupan harian mereka tanpa bergantung sangat dengan bantuan kerajaan.
 
Bagi golongan rakyat miskin pihak kerajaan perlu menyediakan tempat tinggal yang selesa dan pekerjaan untuk menyara kehidupan harian mereka. Dengan adanya tempat tinggal yang selesa, kemudahan infrastuktur dan mudah bagi mereka mendapat pekerjaan, masalah sosial dikalangan penduduk Sarawak dapat dikurangkan. Banyak masalah sosial berpunca dari masalah tiada tempat tinggal yang selesa serta tiada pekerjaan yang sesuai dengan golongan terbabit.
 
Jangan benarkan pelabur asing memiliki aset negara dan tanah penduduk Sarawak kerana dalam keadaan ekonomi serta mata wang Malaysia yang semakin teruk sekarang ini ianya boleh menyebabkan pelabur asing menguasai sepenuhnya ekonomi Sarawak dan rakyat Sarawak akan hidup tertekan.
 
Kita menggesa pihak pemerintah menggunakan kuasa autonomi sebagai kuasa untuk memberi hak kepada penduduk asal Sarawak untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas selama ini.  Kembalikan hak milik asal kepada penduduk Sarawak dengan memberi keutamaan kepada mereka dulu sebelum membenarkan pelabur asing datang di Sarawak.
 
Jangan salahgunakan kuasa autonomi yang sedia ada untuk kepentingan sendiri dan menyusahkan kehidupan rakyat. Beri kuasa autonomi untuk kepentingan rakyat Sarawak bukan untuk kepentingan mereka yang berkuasa dan mereka yang ada kepentingan. - HARAKAHDAILY 16/9/2015
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak

Share on Myspace