Masyarakat Iban semakin yakin dengan PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

PETRA JAYA: Masyarakat bukan Islam termasuk kaum peribumi semakin yakin untuk menzahirkan sokongan mereka kepada PAS yang selama ini terhalang dan ditakutkan oleh pelbagai momokan palsu.

Ternyata segala kegusaran semakin sirna, sebaliknya PAS dilihat sebagai rakan penting kehidupan yang sedia mendengar, membantu serta bersama memperjuangkan kesejahteraan dan kehidupan bernegara.

Perasaan itulah ditunjukkan oleh masyarakat Iban yang memberikan kepercayaan kepada PAS pada pertemuan ramah mesra bersama PAS Kawasan Petra Jaya di Kampung Siol Kandis, Samariang, dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis anjuran bersama PAS Cawangan Samariang dan Lajnah Penerangan PAS Kawasan Petra Jaya itu, mereka menyatakan hasrat mendaftar sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sarawak, Zharudin Narudin ketika berucap dalam pertemuan itu menyatakan bahawa PAS relevan untuk semua penganut pelbagai agama di mana PAS bukan semata-mata parti politik, tetapi juga platform rakyat.

“PAS mengalu-alukan dan menyediakan ruang untuk masyarakat Iban bersama dalam DHPP meneruskan agenda berkebajikan untuk rakyat Sarawak. PAS akan membantu masyarakat dan membawa rakyat negeri ini kepada satu perubahan yang adil dan perpaduan,” ujarnya.

Turut serta pada pertemuan tersebut adalah Yang Dipertua PAS kawasan, Rosidi Harun dan Ketua Muslimat PAS kawasan, Ummi Habsah Abdullah. - HARAKAHDAILY 16/9/2015

Share on Myspace