Mayat ditemukan dalam tong sah Kevin Morais

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Mayat ditemukan dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini awal pagi ini disahkan ialah Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang sejak 4 Sept lepas, menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pihaknya bagaimanapun masih perlu mendapatkan pengesahan selanjutnya daripada anggota keluarga Morais.

"Bedah siasat ke atas mayat akan dilaksanakan kira-kira pukul 2 petang di Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang berita di lokasi penemuan mayat berkenaan, hari ini.

Beliau berkata penemuan mayat itu adalah susulan siasatan yang dijalankan pihak polis terhadap tujuh suspek warga tempatan, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak, yang ditahan sejak semalam.

Seorang daripada suspek telah membawa pihak polis ke lokasi tong itu pagi ini di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Klang, katanya.

"Apabila ditunjuk suspek, kita dapatkan bantuan Jabatan Bomba dan patalogist untuk tarik tong pada pukul 8 pagi. Lepas tong drum dipecahkan jumpa satu mayat yang kita percaya adalah mendiang yang hilang," katanya.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q. - Bernama

Share on Myspace