Suntik semangat menerusi program Himmah

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Himpunan Anak Muda Merdeka Pahang (Himmah) dengan tema ‘Martabatkan Islam Selamatkan Malaysia’ hari ini, berjaya menyuntik semangat lebih 1,000 orang yang diisi pelbagai program.
 
Perhimpunan sehari suntuk anjuran Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang yang diadakan di Kompleks Almakmur Kerdau itu, turut dihadiri pimpinan daripada Pemuda PAS Malaysia dan Perhubungan PAS Pahang.
 
Program bermula seawal jam 8 pagi itu dengan perarakan konvoi bermotor ARC dari Masjid Bukit Kepayang yang mengiringi Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia,  Muhammad Khalil Abdul Hadi yang ditugaskan merasmikan program tersebut.
 
Berucap sebelum itu ialah Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ketua Pemuda DHPP Balandran Balasubramaniam dan Ketua Pemuda negeri, Hazmi Dibok.
 
Selepas itu Khalil diberi penghormatan menyampaikan anugerah Jasamu Dikenang kepada enam mantan ketua pemuda negeri iaitu Abdul Rahim Abdul Latif, Yusof Embong, Nasrudin Hassan, Suhaimi Md Saad, Shahril Azman Abdul Halim dan Nazri Ahmad.
 
Semua peserta selepas itu mengadakan flashmob ‘Selamatkan Malaysia’ berhadapan jalan raya berhampiran.
 
Bagi pengunjung-pengunjung pula disajikan dengan persembahan pelajar-pelajar Pasti, tarian singa, gendang India, persembahan silat kesenian Melayu dan konsert santai seni dengan persembahan Band XX-Taiji, Abang Hasan Chenor, Nasir Seedrain serta artis Hatta E-Junction.
 
Acara kemuncak pada sebelah malam ini diadakan Munajat Perdana Anak Muda dan diakhiri pidato oleh Ketua DPP Malaysia Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Adun Gunung Semanggol, Mohamad Zawawi Abu Hasan, Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dan Hazmi Dibok.
 
Sementara itu terdapat juga pameran sepanjang masa melibatkan arkib sejarah perkembangan PAS dan pejuang-pejuangnya, rawatan dan pemeriksaan percuma oleh Papisma, kaunter pendaftaran ahli dan semakan daftar pemilih serta gerai jualan. - HARAKAHDAILY 16/9/2015

Share on Myspace